rap

Fizo kongsi pengalaman tunai Haji

Oleh Najiy Jefri

“‘ORANG muda ada banyak tenaga, datang sini boleh bantu orang tua yang perlukan tenaga anak muda,” tulis pelakon dan usahawan Fizo Omar yang mengajak golongan muda untuk menunaikan ibadah haji.

Fizo yang memuat naik status mengenai pengalaman manisnya mengerjakan rukun Islam kelima di Facebook berkata, waktu yang sesuai untuk mengerjakan ibadah haji adalah pada usia muda.

“Sebenarnya waktu yang sesuai untuk kita mengerjakan haji adalah pada waktu muda, ketika sihat dan masih ada tenaga.

“Tak perlu nak tunggu dah tua, dah insaf baru nak datang. Soal keinsafan itu semua hidayah Allah untuk kita. Apabila datang sini tahulah Allah nak jentik hati anda,” katanya.

Menurut Fizo, individu yang bakal mengerjakan ibadah haji perlu kuat mental dan fizikal kerana ia sememangnya menguji kesabaran serta pengorbanan.

“Ketepikan siapa dan apa status kita. Apabila kita berihram bersama berjuta yang lain, lupakan duniawi buat seketika.

“Jangan takut saudara, anda sampai sini dengan niat yang betul dan apa pun keadaannya Allah tidak akan zalim dan akan layan tetamu-Nya sebaik mungkin.

“Fizikal dan mental harus kuat. Bayangkan terutamanya ketika di Mina, saya berjalan setiap hari lebih 15 hingga 20 kilometer. Berjalan dari khemah ke tempat melontar jamrah selama tiga hari berturut-turut dengan cuaca yang agak panas.

“Kalau mental anda ‘ koyak’ dan belum bersedia memang terganggulah ibadah haji,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2019 @ 10:15pm
d