rap

'Saya kahwin macam orang biasa-biasa saja' - Ali Kugiran Masdo

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI kumpulan KugiranMasdo, Ali Sariah tidak berniat untuk merahsiakan pernikahannya dengan wanita pilihan, Natasha Nurain Mohd Azman, 22, pada 9 Ogos lalu yang berlangsung di Johor Bahru.

Ali ketika ditemui berkata, selain menghormati pilihan keluarga kedua-dua belah pihak, dia juga menginginkan majlis perkahwinan seperti orang biasa.

"Saya tiada niat mahu merahsiakan perkahwinan ini tapi saya selalu meletakkan diri saya seperti insan biasa. Saya tidak mahu majlis yang diadakan terlalu gah. Lagipun saya seorang yang santai dan tidak suka berlebih-lebih," katanya.

Dengan sekali lafaz, Ali sah bergelar suami dalam majlis yang dihadiri 300 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan teman rapat.

Pada majlis pernikahan itu, Ali menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh manakala mas kahwin sebanyak satu dinar.

Menurut Ali, walaupun sudah berkahwin, dia terpaksa berjauhan dengan isteri yang bekerja di Singapura dan menetap di Johor Bahru.

"Saya dalam perancangan untuk membawa isteri tinggal bersama di Kuala Lumpur pada bulan Oktober ini. Mungkin dia akan bekerja di sini supaya kami tidak perlu tinggal berjauhan lagi. Cukuplah tempoh perkenalan selama tiga tahun sebelum ini kami terpaksa bercinta jarak jauh," katanya yang memilih Pulau Pinang sebagai destinasi berbulan madu minggu depan.

Mengulas detik perkenalan mereka hingga membawa ke jenjang pelamin, Ali berkata, dia mengenali Natasha ketika membuat persembahan untuk sebuah acara di Johor tiga tahun lalu.

“Natasha hadir ditemani rakan, tetapi entah kenapa, dalam ramai-ramai yang hadir mata saya boleh tertumpu kepadanya.

"Nak dijadikan cerita lagi, ketika dia memuat naik gambar kami di Instagram dan 'tag' akaun Masdo, saya pula adalah admin Instagram itu. Jadi dari situ bermulalah perkenalan kami," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 5:05pm
d