rap

'Dugaan saya dan tunang' - Sufi

Oleh Ardini Sophia Sina

PENYANYI kelahiran Singapura Sufi Rashid mendedahkan hubungan pertunangannya dengan Nurulain Md Yusof hampir retak gara-gara fitnah disebarkan individu tidak bertanggung jawab.

Sufi menerusi Instagram Story (IG Story) berkata, perkara itu turut memberikan impak buruk kepada keluarga tunangnya.

"Keluarga tunang saya terpaksa menanggung malu dengan segala fitnah yang dilemparkan terhadap mereka. Saya jadi segan berdepan dengan mereka yang langsung tidak bersalah.

"Sebulan sahaja lagi saya akan mengakhiri zaman bujang. Semakin dekat tarikh pernikahan, semakin berat pula dugaan saya dan tunang,” katanya.

Dakwa Sufi, ada individu menggunakan akaun palsu untuk menarik perhatian Nurulain dengan memfitnah, menghina dan melemparkan tuduhan tidak berasas.

Sebagai anak seni kata Sufi, dia enggan terpalit dengan kontroversi namun terpaksa memuat naik kenyataan itu bagi menghentikan sikap busuk hati individu terbabit.

"Saya percaya ramai mengikuti kisah peribadi saya dan simpati dengan apa yang jadi. Saya menghargai setiap nasihat dan teguran yang diberikan.

"Diharap perkongsian saya di IG Story mampu menghentikan sikap buruk sangka individu itu.

"Daripada kamu bersangka buruk dan menambah dosa, lebih baik kamu doakan kami yang akan mendirikan ‘masjid’,” katanya.

Sufi dan Nurulain mengikat tali pertunangan pada 15 Disember tahun lalu dan bakal melangsungkan perkahwinan pada 21 September ini.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 4:57pm
d