rap

'Saya pelakon sayalah pengarah' - Opie Zami

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON dan pengarah Opie Zami mengakui bekerja keras untuk filem terbarunya, Kron yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok.

Opie ketika ditemui berkata, berikutan kekangan kewangan dia terpaksa melakonkan watak Ketoi dalam karya arahannya itu.

"Beban saya bukan sahaja sebagai pengarah tetapi juga pelakon. Namun, saya terpaksa berjimat cermat kerana wang yang ada saya gunakan untuk set dan sebagainya.

“Kalau panggil pelakon lain untuk berlakon, mungkin kosnya akan mencecah belasan ribu ringgit," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, bebanan itu bukanlah satu hal yang besar kerana keghairahan dan rasa cintanya terhadap seni begitu mendalam.

"Saya dilahirkan dalam industri. Arwah ayah saya pun bekerja dalam industri. Merangkak macam mana sekali pun, saya terpaksa bekerja dalam bidang ini kerana tiada kepakaran untuk kerja lain. Jadi, di samping mengarah, apabila perlu saya akan berlakon," katanya.

Filem Kron menggunakan banyak teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) dan kos untuk itu sahaja mencecah RM200,000.

"Bajet yang saya ada tidaklah sebenar filem Hollywood. Jadi, harap penonton Malaysia faham situasi kami sebagai pembikin filem tempatan. "Namun, kami sudah berikan yang terbaik untuk filem ini dan selepas tiga tahun ia akhirnya bakal menemui penonton,” katanya.

Selain Opie, filem Kron turut dibintangi Dayana Roza, Zahiril Adzim dan Aman Graseka.

#kw Opie Zami

#loc Kuala Lumpur

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 6:12pm
d