rap

'Mereka hanya kawan, tapi tak kenal dia' - Aishah Azman

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Aishah Azman menepis dakwaan segelintir pihak mengatakan dia membuat provokasi terhadap bekas tunangnya yang juga pelakon Syafie Naswip hingga tercetus perbalahan antara mereka pada Jun lalu.

Aishah ketika ditemui berkata, pihak luar atau kawan yang mengenali Syafie tidak berkawan dengannya secara lebih mendalam.

“Mereka hanya berkawan saja. Mereka tidak hidup sekali dengan dia dan tidak mengenalinya dengan lebih mendalam. Jadi, mereka tidak layak untuk menghakimi atas dasar berkawan dengan dia saja, sebaliknya kena kenal betul-betul. Baru tahu macam mana perangainya,” katanya.

Menurut Aishah, dia juga enggan keluarganya dikaitkan dengan permasalahan yang berlaku kerana ia antara mereka berdua saja.

"Orang luar boleh bercakap apa saja yang mereka mahu katakan, tetapi mereka tidak mengetahui apa sebenarnya yang terjadi," katanya.

Terdahulu Syafie dan Aishah dikaitkan dengan satu laporan polis yang mendakwa seorang pelakon membelasah bekas tunangnya berikutan berang apabila wanita itu memintanya memutuskan hubungan songsang dengan kenalannya pada 26 Jun lalu.

Syafie dan Aishah mengikat pertunangan pada 7 April lalu. Bagaimanapun Syafie mengesahkan hubungan mereka terlerai tanpa memberitahu punca perpisahan.

Syafie dan Aishah yang juga adik pelakon Afiq Muiz mula berkenalan dan rapat selepas mereka membintangi sebuah drama bersama pada 2017.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 9:32am
d