rap

'Ada sebab Erma pilih saya' - Syafiq Kyle

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA tidak ‘rampas’ tempat pelakon teater kerana percaya pengarah Erma Fatima ada sebab tersendiri untuk memilih pelakon komersial seperti saya menerajui teater ini,” kata pelakon popular Syafiq Kyle ketika mengulas tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan pemilihannya menerajui pementasan Teater Malayu - Pawana Isabella yang dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya bermula 21 hingga 31 Ogos ini.

Menurut Syafiq, dia tidak melihat kritikan itu dari sudut negatif.

“Saya menganggapnya sebagai satu cabaran apabila ada pihak yang mempersoalkan pemilihan saya dalam teater ini bersandarkan populariti. Maklumlah, watak yang ditawarkan kak Erma kepada pelakon TV seperti saya adalah watak utama iaitu Raja yang memerintah dan naskhah ini juga berat,”katanya.

Syafiq juga menganggap pembabitan dalam teater buat julung kali adalah untuk menggilap lagi bakat lakonan sedia ada.

“Minat saya pada bidang lakonan cukup mendalam sejak dulu. Sampai sekarang pun saya masih lagi berdepan ujian bila pemilihan dalam teater ini pun dipersoalkan orang?,” katanya ketika ditemui pada malam pratonton bersama media pementasan Teater Malayu - Pawana Isabella yang berlangsung di Istana Budaya, malam tadi.

Bagaimanapun, kata Syafiq, ada juga pelakon teater yang diberi peluang penerbit dan pengarah untuk berlakon dalam drama di kaca TV.

“Saya sendiri ada asas dalam lakonan kerana pernah mengikuti jurusan lakonan di Universiti Teknologi Mara sebelum menceburi dunia hiburan tanah air.

“Apapun, saya melihat setiap kritikan untuk terus memperbaiki prestasi lakonan dari semasa ke semasa,”katanya.

Selain Syafiq dan Janna Nick, pelakon lain yang terbabit dalam teater itu adalah Azar Azmi, Datuk Adflin Shauki, Ozlynn Wati, Johan Raja Lawak dan Datuk Ziela Jalil.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 12:20pm
d