rap

Ippo Hafiz selamat bergelar suami

Oleh Sudirman Mohd Tahir

HUJAN mengiringi majlis pernikahan penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz, 30, dengan wanita pilihannya, Norfarahin Mohd Roslan, 31, di sebuah villa di Jalan Ampang, Kuala Lumpur jam 9.22 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohd Roslan Marwi dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Mohd Abd Nasir Abdullah dengan sekali lafaz.

Pada majlis itu, Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz menyerahkan mas kahwin RM80, wang hantaran RM20,000 beserta tujuh dulang hantaran, manakala pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang.

“Alhamdulillah, majlis dirancang berjalan lancar. Maka, bermula sudah fasa baru dalam hidup kami selain tanggungjawab yang perlu dijalankan sebagai suami dan isteri.

“Macam orang lain juga, hari ini saya berasa cukup gementar dan dalam masa sama teruja. Mungkin sebab pengalaman pertama.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudi bekerjasama dalam menjayakan majlis pernikahan kami ini. Doakan yang terbaik buat kami semoga perkahwinan ini dirahmati dan kekal hingga ke jannah,” katanya kepada Harian Metro.

Majlis yang diadakan secara sederhana membabitkan keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak itu memilih batik sebagai tema majlis.

Turut hadir penyanyi Sissy Iman, Sarah Suhairi, pelakon, Shahrizal Jaszle dan isteri, Rohana Jalil serta ramai lagi.

Majlis resepsi sebelah pihak perempuan akan diadakan esok dan sebelah pihak lelaki pada 31 Ogos ini.

Terdahulu, Ippo yang juga komposer lagu tema bagi beberapa drama popular di TV3 menghantar rombongan merisik pada 10 Mac lalu sebelum mengambil keputusan untuk bernikah hari ini.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 11:35pm
d