rap

Tiada adab dengan senior

Oleh Cik Pang

BIASANYA artis baru kenalah ada rasa hormat dengan penggiat seni lebih senior. Sudah menjadi resam kehidupan kita yang muda perlu hormat yang lebih berusia.

Bagaimanapun, Cik Pang dengar seorang artis remaja yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti sangat biadab. Padahal, dia bukan ada pencapaian besar pun setakat ini.

Bayangkan, pada usia masih hingusan, dia tiada adab bercakap dengan orang lebih tua. Bahkan, pertuturannya umpama sudah lama kenal walhal baru sahaja berjumpa.

Cik Pang faham, dalam pada kita mahu mudah mesra dan mencipta suasana lebih santai apabila berborak, kena ada juga adabnya. Namun, artis terbabit nampaknya tidak diajar untuk peka dengan adab sebegitu.

Menurut sumber terdekat, artis berkenaan terbabit dalam sebuah sesi wawancara santai untuk mempromosikan kariernya. Selain dirinya, ada beberapa artis baru yang turut diundang.

Meskipun sesi itu cuma borak santai, artis lain masih tahu jaga sikap dan pertuturan terjaga. Pendek kata sopan dan pandai bawa diri.

Namun, tidak artis yang dimaksudkan ini apabila dia bercakap seolah-olah artis senior itu lebih muda daripadanya. Tentu sekali artis senior itu terkejut.

Artis ini juga bukan main lagi cakap besar apabila membicarakan topik pada hari itu padahal artis senior itu jauh lebih arif kerana sudah lama dalam industri hiburan tanah air.

Walaupun buah bicaranya ada yang pincang, artis senior itu memilih untuk berdiam dan terhibur melihat keperibadian juniornya.

Lucu pula bila artis baru ini suka menonjolkan diri sampai nak menang dalam segala hal. Asal ada topik baru dikemukakan, dia bingkas buka mulut dan mengait­kan dirinya untuk nampak lebih menyerlah.

Apapun, Cik Pang ada dengar saudara kandung artis yang juga orang seni bersikap kurang disena­ngi. Ramai kurang senang dengan sikap adik-beradik itu sehingga jadi bahan mengata.

Kalau beginilah sikap mereka, payahlah nak bertahan lama dalam industri. Apatah lagi ramai mula rasa meluat dengan mereka dan enggan bekerjasama.

Sebelum keadaan semakin teruk, berubahlah dik oii... Kena fikir panjang sebab awak nak cari makan dalam bidang ini.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 5:30am
d