rap

Empat tonggak tarikan Motif

Oleh Syanty Octavia Amry

MENGHASILKAN filem berkisarkan poligami mungkin ‘klise’ kerana sudah biasa dipaparkan kepada umum.

Namun begitu, kisah poligami yang cuba disampaikan melalui Motif arahan Nadiah Hamzah, tidak seperti biasa.

Berlatarbelakangkan misteri pembunuhan, filem itu menjadikan drama bersiri dari Scandinavia sebagai rujukan.

Barisan pelakonnya pula bukan calang-calang malah diyakini menarik penonton untuk ke pawagam iaitu Datuk Rosyam Nor, Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie Alaudin, Taqim Zaki, Azhan Rani, Khalid Salleh, Sherie Merlis dan ramai lagi.

Filem Motif dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula esok.

Bertemu empat tonggaknya iaitu Rosyam, Amani, Iedil dan Taqim, mereka berkongsi pengalaman masing-masing sepanjang menjalani penggambaran dua tahun lalu.

Walaupun filem terbitan Wayang Works Sdn Bhd itu menampilkan bintang hebat, ramai juga wajah baharu yang diketengahkan.

Rosyam berkata, meskipun lebih 32 tahun bergelar pelakon, dia tidak pernah meletakkan jurang dengan pelakon baharu.

Melakonkan watak Hussein, bapa kepada dua orang anak, Rosyam juga bergandingan dengan pelakon baharu, Emma Tosh.

“Saya tidak ada masalah berlakon dengan pelakon baharu. Apabila berada di lokasi penggambaran, saya anggap diri saya kosong dan akan sama-sama belajar dengan mereka yang baharu.

“Saya tidak lokek berkongsi idea dan pengalaman jika ada yang sudi mendengar dan mengambil perhatian. Sekurang-kurangnya sebagai orang lama, saya cuba bantu apa yang termampu,” katanya.

Amani teruja beraksi di samping Rosyam

Sudah lama mencanai bakat sebagai pelakon, Amani mengakui Rosyam antara bintang idolanya dan mahu bergandingan dengan aktor itu.

“Memang teruja apabila dapat tahu abang Rosyam antara pelakon filem ini.

“Selain Eman Manan, saya memang sudah lama teringin berlakon di samping abang Rosyam dan satu pengalaman yang sangat bernilai dapat bergandingan dengannya.

“Abang Rosyam tidak lokek ilmu malah bantu memberikan ‘mood’ kepada pelakon lain di lokasi.

Sementara itu, Taqim mungkin kurang dikenali di arena komersial tetapi dalam pementasan teater, dia antara pelapis yang mendapat perhatian pencinta cabang seni itu.

Mula aktif berkarya pada 2011 menerusi filem Penunggu Istana, pemilik nama penuh Mustaqim Mohamedd Zaki itu mengakui, awalnya berasa bimbang apabila digandingkan dengan nama besar dalam Motif.

Namun begitu, dia tidak terlalu melayan perasaan bimbang sebaliknya perlu bijak mengawal keadaan supaya tidak menampakkan dirinya kerdil di sisi mereka.

“Melihat senarai barisan pelakon filem ini, saya terasa sangat kerdil. Namun, saya buang perasaan itu malah saya fikir perlu bijak bawa diri dan melakukan yang terbaik supaya lakonan nampak sama taraf dengan mereka.

“Kebetulan saya sudah lama mengenali Amani dan dia banyak membantu untuk saya lebih memudahkan cara kerja serta rasa selesa di samping pelakon hebat seperti abang Rosyam dan Iedil Dzuhrie,” kata lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu.

Iedil selesa bekerja dengan Nadiah

Nadiah Hamzah satu lagi nama mungkin asing di layar lebar, namun wanita itu hebat dalam menyampaikan sentuhannya dalam Motif.

Walaupun mempunyai pemikiran dan cara kerja orang Barat, Iedil mampu mengikut rentak pengarah itu.

Ini kerana sudah beberapa kali dia bekerjasama dengan Nadiah menerusi telefilem dan iklan komersial.

“Saya tidak ada masalah kerja dengan Nadiah. Walaupun dia baharu dalam arena perfileman, saya sudah faham apa yang dia mahukan.

“Bezanya, dalam filem idea lebih besar dan proses lebih panjang, begitu juga dengan kerjasama sesama pelakon semuanya lebih mudah kerana pelakon yang terbabit semuanya berpengalaman.

“Saya juga pernah bekerjasama dengan Amani menghasilkan teater, maka lebih mudah untuk kami bekerjasama dalam filem ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 5:50am
d