rap

'Jangan hentam keluarga saya' - Fikry

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Fikry Ibrahim terkilan apabila ada warganet mengaitkan ahli keluarganya terutama ibu bapa dalam komen di media sosial.

Fikry, 25 berkata, dia tidak kisah dirinya dikecam dan lebih suka membaca komen sebegitu mengenai dirinya namun kecewa apabila ada yang turut menyerang ahli keluarganya.

“Saya lagi suka kalau terima teguran daripada warganet. Lagi mereka komen dan tegur bermakna mereka kenal siapa saya serta mengikuti karier saya.

“Cuma, agak sedih apabila mereka tidak serang saya. Kadang-kadang, mereka hentam keluarga saya padahal yang silap itu saya.

“Saya baca meskipun tak balas komen mereka dan tentu sekali sedih jika ibu saya terbaca komen sebegitu. Sekalipun saya menyinggung sesiapa dengan perbuatan saya, janganlah sampai kaitkan keluarga saya. Andai saya buat silap, saya minta maaf,” katanya.

Terbaru, pelakon Kau Yang Pertama itu dikritik netizen apabila bersentuhan dengan pelakon wanita dalam drama lakonannya.

Menjelaskan hal itu Fikry berkata, kenyataannya sebelum ini disalah erti apabila didakwa dia enggan bersentuhan dengan mana-mana pelakon wanita.

“Sebenarnya saya cakap akan cuba sebaiknya untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita.

“Saya tahu, lambat laun saya akan tersentuh. Saya tak kata perkara itu bagus cuma apabila kenyataan itu disalah erti, maka ada yang tersalah buat kesimpulan,” katanya.

Selain Fikri, drama Kau Yang Pertama turut dibintangi Farah Nabilah, Tasha Shilla, Shiela Mambo, Amar Asyraf, Ellyas Abdullah, dan ramai lagi.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 6:03pm
d