rap

KWSP, PERKESO setuju untuk caruman penggiat seni

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac membawa berita gembira apabila mengumumkan pihaknya sudah mencapai persetujuan dengan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk caruman penggiat seni.

"Kami sudah berbincang dengan KWSP selama lima bulan. Begitu juga dengan semua agensi lain.

"Kami faham di bawah Akta FINAS 1981 (Akta 244), kami boleh melaksanakan akta terbabit.

"Apabila tahu kami boleh melakukannya, kami buat satu kertas cadangan intensif di mana semua industri akan mendapat faedah daripada KWSP dan PERKESO," katanya dalam sesi dialog dua hala bersama penggiat seni di FINAS, Hulu Klang, hari ini.

Program yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo itu dihadiri hampir 300 penggiat seni.

Hans bagaimanapun berkata, semua ketetapan itu termaktub kepada syarat tertentu.

"Perlu lihat gaji macam mana, polisi insurans macam mana. Kami ada butirannya tetapi ketika melaksanakan kertas cadangan intensif ini, kami rasa ia tidak susah untuk dilaksanakan," katanya.

Katanya, pihaknya hanya perlu menukar satu akta baru di bawah pelesenan FINAS dan ia bersifat teknikal.

Menurutnya, FINAS dapat melaksanakan perkara berkaitan itu dalam mesyuarat lembaga pengarah dan ia dapat ditukar.

"Majikan merangkumi penerbit dan penyiar (stesen televisyen) perlu membayar caruman ini.

"Dia ikut pada kontrak. Contohnya, seorang pelakon atau kru teknikal bekerja dua projek sebulan untuk syarikat berbeza, caruman mereka perlu dibuat untuk dua bayaran.

"Kalau syarikat yang sama ambil mereka bekerja untuk dua projek dalam satu bulan, syarikat itu kena bayar caruman bagi kedua-duanya," katanya.

Hans berkata, mereka sudah bersetuju dengan KWSP bahawa bentuk caruman itu berbeza dengan mekanisme sedia ada.

"Kami akan melancarkan perkara ini bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia pada Oktober ini serta akan mengumumkan secara lengkap berkenaan pengagihan ini.

"Tiga penerbit dan tiga penyiar sudah bersetuju dengan cadangan ini serta akan mula dilaksanakan pada Januari tahun depan.

"Penyiar yang akan ambil inisiatif untuk membayar kelebihan ini kepada penerbit," katanya.

Menjelaskan lanjut, Hans berkata, penerbit tidak perlu mengeluarkan sesen pun wang mereka.

"Kalau penerbit tidak membayar, lesen Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) mereka akan ditahan.

"Semua yang terbabit akan terima manfaat. Kami ada 30,000 penggiat seni yang aktif,” katanya.

Menurutnya, FINAS ada cara untuk menetapkan caruman itu dan minimum pembayaran ialah RM1,100.

"Katakan kita kerja empat hari sedangkan produksi berjalan 10 hari.

"Gaji dibayar untuk empat hari RM200 atau RM300. Kalau jumlah yang diterima melebihi RM1,100 majikan perlu mencarum," katanya.

Untuk PERKESO pula katanya, produksi perlu membayar caruman setiap kali pelakon terbabit dengan penggambaran.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 5:22pm
d