rap

Fazley terima anugerah antarabangsa kategori kulinari

Oleh Sudirman Mohd Tahir

CEF selebriti popular, Datuk Fazley Yaakob dianugerahkan Pemimpin Paling Dikagumi Di Asia 2019 bagi kategori kulinari di ibu negara, hari ini.

Acara berprestij peringkat antarabangsa anjuran Herald Global & ERTC Media itu buat pertama kalinya mengangkat bidang masakan sebagai penerima tertinggi anugerah itu.

“Pada awalnya, saya terkejut apabila menerima khabar ini apatah lagi diberitahu yang saya terpilih selepas beberapa kali melalui proses saringan bersama pencalonan 100 individu berpengaruh lain dari seluruh Asia.

“Kalau hendak diikutkan, ramai lagi individu lain yang lebih berpengalaman dan senior berbanding saya dalam bidang kulinari ini. Begitupun, saya anggap ia sebagai rezeki terbesar buat diri dan keluarga SukaSucre Bistro,” katanya.

Menurut Fazley, pemilihannya dimaklumkan sendiri oleh Penolong Pengurus Editorial Herald Global, Trishla Page yang berpangkalan di Mumbai, India bulan lalu.

Pada majlis sama, penyanyi popular, Sufian Suhaimi turut dipilih sebagai Pemimpin Paling Dikagumi di Asia 2019 bagi kategori Selebriti/Hiburan.

Majlis itu adalah komitmen Herald Global dan ERTC Media untuk menghargai pencapaian setiap individu merangkumi pelbagai bidang.

Anugerah itu juga bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada individu yang berjaya mengukir populariti dalam industri keusahawanan, pembuatan dan rekaan.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif juga merangkap Ketua Editor Herald Global, Saimik Sen.

Disiarkan pada: August 26, 2019 @ 9:23pm
d