rap

Terap elemen, disiplin makyung sebenar

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

TIGA hari persembahan berlangsung menyaksikan Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sentiasa penuh dengan kehadiran penonton.

Mereka begitu teruja untuk menyaksikan persembahan Main Makyung ‘Raja Gondang’ yang menampilkan pelakon dan tenaga produksi terdiri daripada pensyarah, pihak pengurusan, pelajar serta alumni Aswara sendiri.

Penampilan nama besar antaranya pensyarah makyung Aswara seperti Zamzuriah, Along Eyzendy, Shariful Akma Abdullah dan bekas primadona pentas teater yang kini bergelar Pengarah Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) Aswara, Juhara Ayob menjadi tarikan utama terhadap teater ini.

Che Kem pula menggunakan pengalamannya bekerja dengan ramai pengarah teater seperti Dr Anuar Nor Arai, Mior Hashim Manaf, Datuk Rahim Razali, Dr Rohani Yusof, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Rosminah Tahir, Wisran Hadi dan Norzizi Zulkifli dengan mengarahkan teater pertamanya menjadi sebuah pementasan yang baik lagi menghiburkan.

Main Makyung ‘Raja Gondang’ masih mengekalkan ciri-ciri yang wajib ada iaitu dibuka dengan lagu Mengadap Rebab dan seterusnya diikuti tarian, lakonan dan muzik.

Juga watak utama, Raja Besar (lakonan Ismadian Ismail) yang berdepan dengan kemusykilan dan perlu mendapatkan bantuan dua pengasuhnya iaitu Pengasuh Tua (Along Ezzendy) serta Pengasuh Muda (Nik Izzham).

Penonton yang rajin menonton persembahan makyung tentunya sedia maklum kedua-dua watak inilah yang akan menggeletek hati mereka.

Memandangkan semua yang terbabit adalah dari Aswara dan mempunyai pengalaman luas, lakonan yang diperlihatkan setiap mereka sememangnya begitu mantap.

Ismadian produk kelahiran Aswara yang sekiranya terus digilap, mampu menjadi pakyung terkenal suatu masa nanti.

Along Ezzendy yang sudah dikenali ramai di kaca TV, petah melontarkan kata-kata spontan yang pasti membuatkan penonton ketawa.

Begitu juga gandingannya, Nik Izzham yang membantu memperkuatkan teater ini.

Penampilan pelakon lain antaranya Tengku Iefizulasyirifie Tengku Alaudin (Raja Gondang), Shahrul Mizad Ashaari (Wak Juara Pemikat), Raja Muhamad Syukor Ibrahim (Wak Petanda Raja) dan Juhara Ayob (Mak Inang) membantu mencantikkan cerita ini.

Rekaan pentas sederhana tetapi menarik, muzik memikat dan penataan cahaya yang baik, rekaan kostum yang sesuai serta gerak tari memukau hasil sentuhan Zamzuriah Zahari ternyata menyempurnakan persembahan ini.

Walaupun kesudahan cerita diringkaskan menerusi penceritaan dua Peran ini bagi memberi peluang dipentaskan pada masa seterusnya, peminat tetap berpuas hati dengan persembahan yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-25 Aswara.

Che Kem ketika ditemui berkata, naskhah arahannya bukan sebuah eksperimen sepenuhnya kerana masih menerapkan elemen dan disiplin makyung sebenar.

“Saya memastikan jiwa makyung tak sekadar pada rupa saja tapi perlu hidup dalam keseluruhan persembahan.

“Penghujung persembahan cerita tak diakhiri dengan tertangkapnya Raja Gondang dibawa menghadap Raja Besar kemudian ada adegan Raja Besar kasihan lalu menabalkan Raja Gondang sebagai anak angkat.

“Apa yang saya simpulkan dengan berbalik kepada cara persembahan makyung trdisional apabila elemen ‘batang cerita’ digunakan. Pengasuh akan mengulas dan menyimpul cerita apabila cerita terlalu panjang dan tak boleh diselesaikan dalam satu malam.

“Ini adalah cerita Raja Gondang bahagian pertama. Cerita Gondang ada di bahagian seterusnya dan lebih banyak konflik pengembaraan apabila Raja Gondang dihukum Raja Besar dan ditembak jatuh terpelanting ke tengah laut sehingga Raja Gondang berjaya membawa bondanya balik ke istana,” katanya.

Menurutnya. persembahan Makyung Raja Gondang arahan seniman Negara Allahyarham Khadijah Awang 1997 juga tamat sehingga Raja Gondang ditabal menjadi anak angkat.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 5:30am
d