rap

Amira tak cepat melatah ditegur warganet

Oleh Ramlah Zainal

PENYANYI Amira Othman mengakui dia tidak cepat melatah dengan kritikan warganet di laman Instagram miliknya yang menegur penampilan dirinya tidak memakai stokin tangan selepas bergelar hajah.

Menurut pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman, 26, dia juga melihat teguran warganet dengan hati yang terbuka.

“Saya tidak marah dengan teguran warganet ini. Doakanlah saya untuk berubah menjadi yang lebih baik pada masa depan,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya pengalaman ketika menunaikan ibadah haji pula, kata Amira, dia juga berdepan dengan ujian di mana kakinya sakit ketika di Tanah Suci Makkah, baru-baru ini.

“Mungkin kerana saya terlalu banyak berjalan sepanjang di Tanah Suci Makkah.

“Saya anggap ia hanya ujian kecil untuk lebih menghayati kebesaran Allah SWT.

"Namun, setiap kali sebelum buat ibadah, saya berdoa semoga urusan dipermudahkan dan alhamdulillah, kesakitan di bahagian kaki juga terus hilang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, golongan muda yang berkemampuan menunaikan ibadah haji atau umrah tidak perlu berasa takut untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Niat saja dalam hati untuk buat ibadah dan insya-Allah akan dipermudahkan urusan kita," katanya.

Terdahulu, Amira menunaikan ibadah haji kerana dipelawa penyanyi popular Wany Hasrita yang menerima jemputan khas daripada kerajaan Arab Saudi.

Rezeki untuk menunaikan haji berpihak kepada Amira disebabkan ibu Wany, Norita Jaafar tidak dapat turut serta.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 3:41pm
d