rap

Muzik video Nubhan pamer lelaki tidak berbaju

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI Nubhan, 33, menafikan dia cuba mengeksploitasi tubuh badan 'lelaki tidak berbaju' di dalam muzik video lagu terbarunya berjudul Tak Tahan.

Nubhan berkata, dia tidak berniat mahu memanfaatkan babak tubuh lelaki tidak berbaju yang bersilat di dalam muzik video itu untuk menarik jumlah tontonan lagu Tak Tahan di YouTube.

"Saya minta lihat pada sudut positif yang mana sekumpulan lelaki itu tidak berbaju kerana mereka bersilat. Bukan membiarkan badan mereka dieksploitasi.

"Lagu baru saya, Tak Tahan ini bergenre 'pop fusion' yang memuatkan elemen tradisional. Jadi, saya ambil aktiviti silat ini untuk dimuatkan selain tarian tradisional.

"Saya tidak menghasilkan muzik video lagu Tak Tahan ini kerana mahu mengeksploitasi tubuh badan lelaki. Cuma, ia dilihat sesuai dengan genre lagu," katanya.

Mengulas kesediaannya menerima kecaman warganet, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad berkata, terpulanglah mereka mahu kata apa.

"Dalam era media sosial sekarang, semua komen boleh ditulis di hujung jari. Sebagai penyanyi, saya cuba menerima kritikan dan komen ini dengan hati terbuka.

"Apapun, lagu Tak Tahan adalah percubaan baru saya untuk menjenamakan semula kemunculan di pentas nyanyian. Ini kerana, sepanjang membina karier nyanyian saya banyak tampil dengan lagu balada.

"Sekarang, dengan kemunculan baru ini saya memberanikan diri mencuba perkara baru iaitu menyanyikan lagu 'pop fusion' serta turut menari," katanya.

Mengakui meskipun ia cabaran baru yang pada mulanya difikirkan sukar, Nubhan berkata, dia menguatkan mental dan fizikal harus berani mencuba.

Lagu Tak Tahan hasil ciptaan bersama komposer Indonesia, Ressa Herlambang dan Rizky manakala lirik ditulis oleh Merak Bersyair.

Muzik video lagu Tak Tahan sudah dimuat naik di YouTube lebih 22 jam lalu dan mencatat lebih 6,000 tontonan. Selain itu, Nubhan juga menampilkan isterinya Dr Fie Tawfek dalam muzik video berkenaan.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 7:04pm
d