rap

Sudah ada single sendiri

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

TIGA tahun lamanya Najiha Suhaimi aktif menyanyi menerusi aplikasi ‘Smule’ dan mengumpul pengikut sendiri. Ramai tertarik dengan perwatakan gadis berusia 25 tahun ini yang manja dan bersuara lemak merdu.

Selepas mengumpul pengalaman dan keyakinan, Najiha yang lebih dikenali dengan nama Gia Haimy kini menghasilkan single pertama berjudul Istikharah Cinta Ku.

“Alhamdulillah, selepas beberapa ketika saya akhirnya ada single sendiri. Saya selesa membawakan lagu berirama balada, pop, etnik dan dangdut. Beberapa kumpulan aplikasi smule banyak menganjurkan pertandingan nyanyian di media sosial dan saya tidak melepaskan peluang menyertainya,” katanya.

Penyertaan Gia ternyata tidak sia-sia kerana meraih beberapa kejayaan antaranya enam kali juara dan tampil sembilan kali sebagai top 10 menerusi Smule Events.

“Selain itu, saya juga tersenarai dalam top 5 Penyanyi Wanita Solo Terbaik (Ethnic Creative) kategory Asia Se7en Malaysia Smule Awards 2018 serta top Artis Wanita Solo (Ethnic Creative) Category MYSC Malaysian Smule Awards 2019,” katanya.

Pemegang Diploma Pendidikan Awal Islam Kanak-Kanak dari Kolej Islam Antarabangsa itu berkata, kemenangan terbabit membuka mata seorang penulis novel dan penulis lirik, Fauziah Abdul Rani untuk menerbitkan runut rasmi novel bertajuk Dia Istikarah Cinta Ku.

“Saya menyambut baik lamarannya dan pada Disember tahun lalu merakamkan lagu ciptaan Rizal Lateef di studio syarikat rakaman NSR di bawah kendalian komposer Mohariz Yaakub.

“Istikharah Cinta Ku dikeluarkan secara rasmi pada Februari lalu dan dipromosikan menerusi media sosial antaranya YouTube, Smule dan Jook.

“Setakat ini saya berpeluang muncul di Bernama TV untuk mempromosikan single pada April lalu,” katanya.

Gia amat berterima kasih kepada bapa saudaranya yang bertanggungjawab menggilap bakatnya dalam nyanyian.

“Dia komposer sambilan yang aktif menghasilkan lagu di YouTube.

“Ikutkan saya ada darah seni apabila ayah dan emak pernah menyertai pertandingan nyanyian pada zaman remaja di RTM selain pernah diundang menyanyi untuk program yang diterbitkan.

“Kami mempunyai studio sendiri di Slim River, Perak yang mendapat sambutan hangat penduduk setempat,” katanya.

Gia sendiri turut memanfaatkan studio itu untuk berlatih bagi memantapkan lagi vokalnya.

“Apabila ada single sendiri bermakna saya kini sudah bersedia untuk tampil menghiburkan peminat.

“Diharapkan kehadiran saya disambut baik oleh mereka. Saya juga sudah bersedia bersaing secara sihat dengan penyanyi lain.

“Saya ingin membuktikan kepada semua walaupun hanya bermula dengan menyanyi secara suka-suka di Smule dan terkenal menerusi media sosial, saya juga mampu menjadi penyanyi yang berprestij suatu hari nanti,” katanya.

Peminat yang ingin berinteraksi dengan Gia boleh berbuat demikian menerusi Facebook Gia Haimy dan Instagram giahaimy_ serta Id smule: Vaz_Gia

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 5:15am
d