rap

Air mata Aina Abdul

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Aina Abdul gagal menahan sebak ketika menyanyikan lagu saduran berjudul Survivor nyanyian Destiny's Child di laman YouTube miliknya, hari ini.

Menerusi minit ke 3.05, penyanyi yang popular dengan lagu Sumpah itu dilihat menitiskan air mata dan sedaya upaya menyanyikan lagu berkenaan dengan penuh perasaan.

Aina ketika dihubungi berkata, bait-bait lirik lagu itu mengingatkan dirinya mengenai cabaran yang harus ditempuh terutama membabitkan karier.

"Perjalanan yang saya lalui ini bukan mudah. Banyak cabaran yang perlu saya harungi untuk menempatkan diri dalam industri seni.

"Entah mengapa ketika saya menyanyikan lagu ini, saya teringat banyak perkara sukar yang pernah dilalui. Bagaimanapun, saya bersyukur dengan setiap rezeki dan peluang yang diberikan.

"Saya akui sedikit emosi ketika merakamkan lagu ini apabila mengenangkan mengambil masa yang lama untuk umum menyedari kewujudan saya. Perjuangan ini akan diteruskan hingga akhir hayat saya,” katanya.

Menurut Aina, dia berharap lagu yang disampaikan itu akan menjadi inspirasi dan jangan sesekali mengalah sebelum berusaha.

"Saya nak kalian tahu yang bukan hanya kalian sahaja yang berjuang untuk teruskan hidup. Jadi, sama-sama kita berusaha keras dan bangkit mengejar impian.

"Tanpa usaha dan kerja keras setiap apa yang kita cita-citakan tidak akan berhasil. Oleh itu, jadikan hari ini sebagai satu kenangan manis yang kita harungi apabila mencapai kebahagiaan pada masa akan datang.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada kelab peminat AINATIONS yang terus memberikan sokongan tanpa jemu,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 4:54pm
d