rap

Shima sudah ada rumah [METROTV]

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“BIARLAH orang nak kata rumah murah, janji saya ada tempat untuk berteduh daripada hujan dan panas,”.

Demikian kata penyanyi Shima pada majlis penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Selangor yang disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Penyanyi yang popular dengan lagu Teringin itu gembira kerana permintaannya ditunaikan dalam masa yang pantas.

“Penyerahan surat tawaran ini menjadi bukti pengesahan saya dapat rumah ini.

“Kunci sudah boleh ambil pada bila-bila masa tetapi saya difahamkan perlu bayar deposit untuk masuk.

“Jumlahnya belum pasti. Namun, untuk saya segera pindah dalam bulan September agak susah kerana perlukan wang untuk sewa lori dan sebagainya,” katanya.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50, berterima kasih kepada Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk Dj Dave yang membawa masalahnya kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Bukan senang nak dapat rumah ini kerana ada yang kena tunggu bertahun-tahun. Sebelum ini saya perlu bayar sebanyak RM600 sebulan untuk sewa rumah di Damansara Damai dan bil-bil lain.

“Selepas ini saya hanya perlu bayar RM255 sebulan sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan.

“Saya tidak mempunyai pendapatan tetap lagi kerana jarang dapat tawaran menyanyi dan tidak dapat menjalankan perniagaan warung makanan memandangkan masalah sakit belakang semakin serius,” katanya.

Penyanyi yang mendapat status Asnaf daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Julai lalu itu yakin dapat menjelaskan bayaran yang ditetapkan.

“LZS bantu saya dalam soal makanan, ubat-ubatan dan wang secara bulanan.

“Insya-Allah dengan bantuan yang diberikan, saya dan suami dapat bayar sewa rumah PPR.

“Terima kasih kepada KPKT yang prihatin dengan keadaan kesihatan saya apabila menempatkan saya di tingkat satu,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, pihaknya prihatin terhadap kebajikan golongan berpendapatan rendah tanpa mengira latar belakang termasuk golongan artis yang pernah memberikan sumbangan kepada industri seni tanah air.

“Saya menerima 122 nama daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk diberikan bantuan rumah PPR.

“KPKT meneliti setiap nama yang diserahkan kepada kami dan mendapati 19 nama tidak dapat diluluskan kerana mereka sudah ada rumah dan sebagainya.

“Shima mengalami masalah sakit belakang dan tidak boleh bergerak lancar, jadi kami berikan kediaman PPR kepadanya,” katanya.

Dalam pada itu, Dj Dave memberi bayangan akan membantu Shima untuk urusan pemindahan.

“Kami pernah bantu artis berpindah ke PPR sebelum ini. Saya berterima kasih kepada Zuraidah dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek yang prihatin dengan nasib penggiat seni,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 7:14pm
d