rap

'Wangi bukan guna dana haram' - Shuhada

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENERBIT filem Wangi, Shuhada Mohd menafikan karya itu ada kaitan dengan skim pelaburan dana haram dan meminta pihak yang menularkan desas-desus terbabit tampil dengan bukti.

Shuhada ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah berbincang dengan peguam dan akan mengadakan sesi sidang media bagi menjelaskan perkara itu.

“Kepada pihak yang membuat andaian itu, anda kena ada bukti kukuh. Sekarang ada banyak ‘keyboard warrior’ yang boleh bercakap apa sahaja.

“Pihak saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengemukakan bukti dan menjawab sebarang pertanyaan mengenai perkara ini dalam satu sidang media yang akan diadakan pada minggu depan,” katanya kepada Harian Metro.

Diminta mengulas mengenai kaitan antara syarikat produksi itu dengan individu bernama Romi Othman yang juga bekas suaminya, Shuhada menafikan perkara itu.

Isu itu mula diperkatakan apabila salah seorang kru tidak berpuas hati dengan bayaran yang diberikan.

“Saya dengar cerita ini sejak dua minggu lalu. Asalnya, isu ini timbul apabila seorang kru tidak berpuas hati dengan bayaran sedangkan kru lain tidak ada masalah.

“Saya dimaklumkan kru itu memuat naik satu kenyataan berbaur fitnah di Facebook miliknya. Pihak saya sudah kumpul semua bukti,” katanya.

Shuhada menjelaskan isu yang hangat diperkatakan itu tidak melemahkan semangatnya.

“Ia sama sekali tidak menjejaskan saya sebaliknya akan menarik minat lebih ramai orang untuk menonton Wangi.

“Barisan pelakon pun berikan kerjasama yang baik kerana mereka tahu bagaimana saya bekerja,” katanya.

Terdahulu, dalam kenyataan yang tular baru-baru ini, filem Wangi dikatakan menggunakan wang daripada skim pelaburan haram itu yang juga disenaraikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai syarikat yang sudah dikenal tidak diberikan kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh BNM.

Syarikat pelaburan itu dikatakan sudah memperdaya lebih 40,000 individu dengan menawarkan pulangan pelaburan yang tidak munasabah. Sementara itu, Romi Othman yang dikaitkan dengan isu ini juga dikatakan sudah beberapa kali dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Wangi yang akan mula ditayangkan pada 5 September 2019 adalah filem arahan Yeop Hitler dan membariskan ramai bintang terkenal antaranya Erra Fazira, Nabila Huda, Sharnaaz Ahmad, Mia Nasir, Syazwan Zulkifly, Nik Adam Mika dan Ruminah Sidek.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 7:52pm
d