rap

Mell Sakura Band dapat 'bayi merdeka'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI Sakura Band, Melley Matius atau Mell, 31, selamat melahirkan bayi perempuan yang juga ‘bayi merdeka’ di pusat perubatan di Serdang, Selangor jam 1.07 petang, hari ini.

Suaminya yang juga pemain dram kumpulan 6ixth Sense, Mohammad Safwan atau Wan, 32, ketika dihubungi berkata, Mell dan anak pertama itu sihat dan stabil.

Bayi seberat tiga kilogram diberi nama Marissa Sofea itu dilahirkan secara pembedahan.

“Mell dinasihatkan menjalani pembedahan kerana bayi kami mengalami sedikit kesukaran untuk dilahirkan secara normal,” katanya.

Wan turut berkongsi rasa teruja dan terharu apabila dapat memegang cahaya mata pertamanya itu.

“Ketika doktor serahkan bayi untuk saya iqamat, timbul satu perasaan yang tak dapat saya gambarkan. Rasa terharu yang terlalu mendalam buatkan saya iqamat sambil menangis.

“Paling penting buat saya adalah isteri dan anak kami berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Wan berkata, Mell akan dibenarkan pulang untuk berpantang di rumah dan akan dijaga oleh anggota keluarganya mereka.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada November 2017.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 5:38pm
d