rap

Wany, Ain cabar skuad bola sepak kebangsaan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PENYANYI, Wany Hasrita, 27, mencabar skuad bola sepak kebangsaan untuk layak ke Piala Dunia 2022 sekali gus mencipta sejarah buat negara.

Wany berkata, selain peminat bola sepak itu sendiri, barisan selebriti tanah air turut menyokong pasukan kebangsaan.

"Seluruh rakyat Malaysia menantikan kejutan daripada skuad bola sepak negara. Mereka diharapkan merealisasi harapan kami," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, skuad kebangsaan perlu beraksi baik dalam pusingan kedua yang akan berlangsung di Indonesia pada Khamis ini.

Bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Malaysia diletakkan dalam kumpulan G bersama Indonesia, Thailand, UAE dan Vietnam.

Skuad kebangsaan akan menempuh lapan perlawanan timbal balik sehingga 9 Jun tahun hadapan.

Menurut Wany, dia sentiasa menyokong pasukan bola sepak kebangsaan dan mencabar mereka melepasi peringkat kumpulan.

"Berikanlah aksi sepenuh hati dan jika Malaysia layak ke Piala Dunia 2022, saya berjanji akan turun menyaksikan setiap perlawanan mereka," katanya.

Penyanyi yang baru pulang daripada menunaikan ibadah haji itu berkata, skuad negara perlu bersungguh-sungguh melepasi saingan peringkat kumpulan sebelum ke peringkat seterusnya.

"Malaysia perlu membuktikan kemampuan. Mewakili artis tanah air, saya percaya pasukan Malaysia boleh," katanya.

Sementara itu model, pengacara dan pelakon, Ain Edruce turut menyokong skuad bola sepak kebangsaan.

"Beraksilah sebaik mungkin dalam peringkat kumpulan. Jika Malaysia layak, saya akan turun semua perlawanan sama ada di dalam atau luar negara," katanya.

Menurut Ain, bagi pemain tempatan dia meminati Safawi Rashid manakala luar negara adalah pemain Juventus, Christiano Ronaldo.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 4:37pm
d