rap

Janna sedia sambung pementasan Teater Melayu - Pawana Isabella

Oleh Ramlah Zainal

PELAKON popular Janna Nick mengakui dia sudahpun menerima tawaran pengarah Erma Fatima untuk menjayakan sambungan pementasan Teater Malayu - Pawana Isabella selama empat hari bermula 13 September ini.

Menurut Janna, dia tetap bersedia memberikan komitmen pada teater itu walaupun terbabit dengan penggambaran projek mega drama pada tarikh terbabit.

“Saya sudah memberitahu kak Erma mengenai komitmen pada projek drama yang sudah dipersetujui lebih awal dan beliau sedia bertolak ansur dengan jadual kerja.

“Saya terpaksa membahagikan masa untuk ke lokasi penggambaran mega drama pada sebelah pagi dan berkejar pula ke pentas teater pada sebelah malamnya pula.

“Insya-Allah, saya akan berusaha memberikan yang terbaik pada sambungan pementasan teater ini khusus untuk sambutan Hari Malaysia nanti,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada semua pelakon akan memberikan komitmen pada pementasan sambungan itu, kata Janna, ada pelakon yang tidak dapat memberikan komitmen nanti.

“Difahamkan pelakon Azar Azmi yang melakonkan watak Permaisuri Tishaku tidak dapat memberikan komitmen.

“Tempatnya akan digantikan dengan Datin Seri Umie Aida nanti,” katanya.

Mengulas sambutan pada teater itu, kata Janna yang memegang watak utama Permaisuri Isabella, dia sangat bersyukur kerana pementasannya mendapat sambutan hebat daripada penonton.

“Alhamdulillah, teater ini mendapat sambutan hebat daripada penonton sejak 10 hari dipentaskan.

“Teater ini juga berjaya menyampaikan mesejnya pada penonton dengan meningkatkan perpaduan kalangan masyarakat di negara ini,” katanya.

Teater arahan Erma Fatima bersama pengarah muda Naque Ariffin dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya sejak 21 Ogos lalu dan berakhir semalam.

Selain Janna, teater itu menampilkan barisan pelakon seperti Syafiq Kyle, Janna Nick, Azar Azmi, Datuk Afdlin Shauki, Ozlyn Waty dan Johan Raja Lawak.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 5:05pm
d