rap

'Gangster' terharu disapa Agong

Oleh Ardini Sophia Sina

PELAKON terkenal, Adam Corrie Lee mengakui terkejut dan terharu apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenalinya sebagai anak seni.

Adam Corrie ketika dihubungi berkata, dia sama sekali tidak menyangka baginda turut memenuhi permintaannya untuk mengambil gambar bersama.

"Sebenarnya, saya dijemput oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyampaikan puisi sempena sambutan Maal Hijrah dan majlis ini turut dihadiri oleh baginda serta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ketika berada di pentas, saya lihat baginda tersenyum melihat saya. Mungkin baginda fikir saya berlakon 'gangster' tapi berada di pentas untuk memeriahkan sambutan Maal Hijrah di Putrajaya.

"Masya-Allah, tabaraka-Allah. Saya tidak sangka dapat bergambar bersama dengan baginda. Malahan, ketika itu tidak ada yang halang saya pun. Ini adalah pengalaman manis buat saya," katanya.

Katanya, disebabkan terlalu terkejut, dia juga hanya dapat menjawab pertanyaan baginda selepas diulang pada kali kedua.

"Baginda ada tanya, saya masih berlakon lagi ke. Tetapi, disebabkan terlalu terkejut, saya terdiam dan tidak dapat berkata-kata.

"Dia ulang soalan sekali lagi dan ketika itu barulah saya jawab yang masih berlakon. Dia kemudian ucapkan alhamdulillah," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 6:30pm
d