rap

Ashraf Muslim teruja bersua imam Masjidil Haram

Oleh Rudy Imran Shamsudin

AKTOR popular, Ashraf Muslim menerima hadiah paling istimewa sempena sambutan tahun baru 1 Muharam 1441, apabila berkesempatan bersua muka dengan imam Masjidil Haram, Sheikh Mahir al-Maquely.

Ashraf yang sebelum ini menunaikan fardu haji masih berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan ibadah umrah.

Menceritakan pengalaman manis itu katanya, dia sejak dulu meminati dan mengagumi Sheikh Mahir al-Maquely kerana alunan surah dibacakan imam itu ketika solat disifatkan seperti tidak pernah jemu untuk didengar.

“Saya selalu mendengar suaranya yang disimpan dalam telefon bimbit, kereta mahupun apabila berada di Masjidil Haram. Bagaimanapun saya tidak pernah terserempak dengannya,” katanya.

Pelakon utama drama bersiri Dia Menantu Rahsia itu berkata, kebetulan pertemuan penuh bersejarah bagi hidupnya itu berlaku apabila dia cuba tiba awal di masjid bagi menunaikan solat Subuh.

“Pagi itu hati saya tergerak untuk sekali lagi solat Subuh di hadapan Kaabah. Disebabkan itu saya sanggup meredah lautan manusia bagi memastikan dapat berada di saf hadapan.

“Tiba-tiba dengan kuasa Allah, saya berada di hadapan laluan imam untuk ke Kaabah dan ketika itulah Sheikh Mahir al-Maquely lalu di hadapan.

“Lebih seronok apabila selesai solat Subuh saya sekali lagi berpeluang menatap wajahnya yang sangat bersih,” katanya.

Menurutnya, dia menyifatkan pertemuan tidak disengajakan itu sebagai satu hadiah daripada Allah buat dirinya sempena sambutan tahun baru.

“Kadang-kadang nikmat yang Allah mahu berikan kepada kita, kita sendiri pun tidak tahu bila, bagaimana dan apa.

“Jadi dekatkanlah diri kepada Allah bersungguh-sungguh dan pasti nikmat akan dikecapi walaupun perkara yang didatangkan kepada kita itu adalah ringkas. Syukur dan terima kasih Allah,” katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 6:03pm
d