rap

Fazley 'hilang telur' di tempat tinggi

Oleh Najiy Jefri

"GUNUNG Kinabalu akan menjadi lokasi terakhir saya mendaki gunung. Saya seorang yang gayat dengan ketinggian atau bahasa kasarnya 'hilang telur' apabila berada di tempat tinggi," kata penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob.

Dia berkata demikian ketika menceritakan pengalamannya mendaki Gunung Kinabalu bersama isteri tercinta, Datin Azrene Ahmad sempena ulang tahun kelahiran Azrene ke-40 baru-baru ini.

Fazley berkata, Gunung Kinabalu akan menjadi yang pertama dan terakhir walaupun isterinya cuba memujuk untuk mendaki Gunung Everest serta Gunung Annapurna, Nepal selepas ini.

"Azrene terkejut apabila memberitahu perkara ini kerana dia sangat berharap saya akan menemaninya ke gunung lain.

"Saya beritahu boleh temankan dia lagi tapi akan teman sebagai cef. Saya akan bawa alatan dapur dan memasak untuknya sebelum dia memulakan perjalanan mendaki gunung," katanya ketika ditemui pada majlis Merdeka Bake Sale di Suka Sucre Bistro, Cheras, Kuala Lumpur.

Menurutnya, meskipun mendaki gunung adalah sesuatu yang mencabar namun demi permintaan isteri tercinta dia merealisasikan impian itu.

"Sebelum ini, saya ada beritahu Azrene untuk panjat gunung adalah satu kesukaran buat diri ini kerana tidak boleh berada di tempat tinggi. Malah ketika latihan di sini saya selalu mengelat kerana gayat.

"Bagaimanapun ketika kami mendaki Gunung Kinabalu, saya antara yang terawal sampai di satu ‘check point‘ tapi tidak meneruskan misi terbabit hingga ke puncak. Hanya Azrene saja mendaki hingga ke puncak bersama seorang malim gunung.

"Boleh gugur jantung kalau saya meneruskan pendakian hingga ke puncak. Awal-awal lagi saya sudah menyerah kalah dan memilih untuk turun awal," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 7:23pm
d