rap

Syukur orang masih ingat saya...

Oleh Ardini Sophia Sina

SELEPAS 11 tahun meninggalkan dunia nyanyian, wanita kelahiran Indonesia ini kembali aktif sejak penghujung 2016.Pemilik nama Indah Edrea ini bersyukur kerana masih ada yang ingatkannya.

Mulai berjinak dengan dunia nyanyian ketika usianya tujuh tahun, pada 2005, Indah memilih memberikan tumpuan pada pelajaran apatah lagi ketika itu dia menduduki peperiksaan besar.

Bagaimanapun, dalam tempoh berkenaan, Indah sempat tampil sebagai peragawati dan menjadi model iklan komersial.

Namun begitu, cabang seni itu tidak dapat menandingi rasa cintanya pada dunia nyanyian.

"Walaupun saya cuba terjun ke cabang seni lain, rasa cinta pada bidang muzik lebih besar. Sebab itulah selepas 11 tahun saya kembali ke dunia nyanyian.

"Saya bersyukur kerana masih ada orang lama dalam industri yang ingat dan bertanya khabar. Malahan, ada peminat yang terus setia menantikan buah tangan daripada saya," katanya.

Bagaimanapun, Indah mengakui, memulakan kembali kerjaya yang 'terkubur' seketika itu bukannya mudah.

Terlalu banyak wajah baharu dan rangkaiannya juga tidak seluas dahulu.

Malah, suaranya juga mempunyai sedikit perubahan kerana sudah lama tidak menyanyi secara profesional.

Namun, seiring waktu, semuanya kembali berjalan lancar.

"Dulu, saya boleh capai nada tinggi tertentu, tetapi selepas lama tidak menyanyi secara serius, suara saya mengalami penurunan nada.

Akhirnya, saya putuskan untuk masuk kelas vokal dan alhamdulillah, semuanya kembali okey.

"Memulakan kembali kerjaya ini bukannya mudah. Ramai wajah baharu yang muncul dan saya tidak kenal. Oleh itu, sekali lagi meluaskan rangkaian itu mengambil masa.

"Ada juga satu ketika saya diuruskan pihak yang mengabaikan kerjaya ini. Tetapi, syukur kerana awal tahun ini akhirnya ada syarikat pengurusan yang dapat kendalikan karier saya dengan baik," katanya.

Tampil dengan lagu baharu berjudul Lembaran Baruku, kata Indah, genre karya berkenaan berbeza daripada konsep yang dibawakan sebelum ini.

Memilih muzik rancak, wanita itu cuba memenuhi permintaan peminatnya.Dilancarkan menerusi platform YouTube pada Jun lalu, Indah kini memacu momentum untuk mempromosikan lagu itu di Malaysia.

Masih menyanyikan lagu hasil ciptaan Bemby Noor, wanita berketurunan Sunda ini selesa dengan penggubah berkenaan.

"Lagu pertama dulu pun diciptakan oleh Bemby juga. Saya selesa kerana lirik yang ditulis dekat dengan perjalanan kehidupan diri ini dan muzik juga sesuai dengan suara.

"Namun, saya tidak menolak karya daripada komposer lain. Lagu kedua saya berjudul Walau pun dihasilkan oleh Hazami.

"Boleh dikatakan sepanjang tiga tahun kembali aktif, agak banyak juga jemputan menyanyi di Malaysia terutama waktu Ramadan. Ketika itulah rezeki datang. Saya gembira dengan sambutan peminat di sini," katanya.

Meminati Hael Hussaini dan Faizal Tahir, Indah berharap suatu hari nanti dapat berkolaborasi dengan dua bakat besar itu. Bagaimanapun, hal itu diserahkan kepada pihak pengurusannya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 5:15am
d