rap

Shiha Zikir teruja nyanyi semula Pilihlah Aku

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Shiha Zikir mengakui sangat teruja mendapat penghormatan memberikan nafas baru untuk lagu Kris Dayanti berjudul Pilihlah Aku yang bakal dilancarkan pada Oktober depan.

Shiha, 31, bahkan tidak menyangka pencipta lagu berkenaan iaitu Denny Chasmala sendiri yang memilihnya untuk menyanyikan semula lagu terbabit daripada ramai penyanyi lain.

“Apabila dimaklumkan mengenai tawaran ini, saya sememangnya sangat teruja memandangkan ia antara lagu kegemaran. Tidak sangka pula komposernya sendiri memang nakkan saya yang nyanyikan semula.

“Jujur, mulanya gementar dan takut juga disebabkan tugasan ini bukan calang-calang. Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan hasilnya yang begitu segar dan sangat memuaskan hati,” katanya.

Penyanyi Pipiyama terbabit turut bersyukur mendapat restu dan kata-kata semangat daripada Kris sebelum masuk studio rakaman baru-baru ini di Jakarta, Indonesia.

“Saya pun memang rapat dengan Kris dan sebaik mendapat tahu mengenai berita ini, saya terus menghubunginya. Kris siap mendoakan supaya proses rakaman akan dipermudahkan selain memberi saya kata-kata semangat.

“Disebabkan sangat teruja, saya hampir menangis dalam studio apabila dapat menyanyikan lagu ini. Buat pertama kali juga, saya mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih vokal untuk lagu ini dan banyak meneroka kebolehan baru dalam nyanyian,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 5:12pm
d