rap

Anak nafi Yazit koma di hospital

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SHEQA Yazit, anak kedua bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad menafikan ayahnya yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berada dalam keadaan koma.

Sheeqa sebaliknya memberitahu, ayahnya yang dimasukkan ke HKL semalam, ditidurkan oleh doktor untuk merehatkannya.

“Ayah tak koma seperti digembar-gemburkan oleh segelintir pihak. Dia hanya berehat.

“Jangan dengar dan percaya cerita yang tak benar,” katanya ketika menghubungi Harian Metro hari ini.

Bercerita lanjut, Sheeqa memberitahu ayahnya mula mengalami masalah pernafasan selepas menunaikan solat Subuh.

“Ayah minta abang Boy (Shahmirnuri) dan kawannya, bawa dia ke HKL untuk pemeriksaan dan ambil sedutan gas (nebulizer).

“Pemeriksaan doktor mendapati ayah ada masalah paru-paru. Ada jangkitan mungkin kerana dialisis atau berpunca daripada air.

“Ayah semput dan mungkin juga ada masalah kekurangan air dalam badan,” katanya.

Menurut Sheeqa, ayahnya dimasukkan di Zon Merah dan doktor membuat keputusan merehatkannya.

“Ayah baru buat dialisis di HKL dalam keadaan tidur, namun belum dimasukkan di wad kecemasan kerana doktor nak tengok kesan ubat dengan rekod paru-parunya terlebih dahulu.

“Sekiranya serius, barulah mereka akan masukkan dia ke wad. Doktor pun belum dapat jangka berapa lama ayah akan berada di hospital.

“Buat masa ini ayah perlu berehat dan belum boleh terima kehadiran pelawat,” katanya.

Yazit, 57, mengalami masalah buah pinggang sejak lebih 10 tahun lalu dan sebelum ini pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat penyakit yang dideritainya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 5:29pm
d