rap

Filem Sangkar kutip RM4.8 juta

Oleh Najiy Jefri

FILEM Sangkar berjaya meraih kutipan RM4.8 juta dalam tempoh lima hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Menurut Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai, pihaknya berasa terharu dengan sambutan luar biasa penonton terhadap filem terbabit.

Katanya, ketika sesi jelajah di Kedah, Pulau Pinang dan Perak baru-baru ini, pihaknya menerima sambutan luar biasa daripada penduduk yang membanjiri pawagam untuk menonton filem Sangkar.

“Malah kami juga menerima maklum balas positif daripada penonton apabila 98 peratus menyukai elemen aksi dan drama dalam filem ini.

“Bukan hanya golongan muda meminati filem ini malah kami difahamkan ramai ahli keluarga sudah mula datang menonton filem ini bersama anak mereka.

“Harapan kami sangat besar dan berharap filem ini akan terus mencatat jumlah kutipan yang tinggi serta menjulang nama negara,” katanya.

Gayatri berkata, meskipun ada yang beranggapan elemen drama dilihat banyak dimainkan dalam filem terbabit, namun dia menegaskan formula sebegitu turut dipertaruhkan oleh filem antarabangsa.

“Latar belakang cerita ini adalah berkisarkan sukan seni bela diri campuran (MMA), namun kami menyelitkan elemen drama dalam filem ini bagi menambah warna sekali gus membuai emosi penonton.

“Jika dilihat, filem antarabangsa juga turut mempertaruhkan formula yang sama. Mereka tidak hanya menampilkan elemen aksi semata-semata kerana penonton akan berasa bosan.

“Jadi mereka masukkan elemen drama supaya penonton terus melekat dan mengikuti jalan cerita filem ini hingga pengakhiran,” katanya.

Sangkar mencipta sejarah dalam industri perfileman apabila diterbitkan empat syarikat perfileman tempatan iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Filem yang mula menemui penonton sejak 29 Ogos itu menampilkan Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah sebagai teraju utama.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 6:46pm
d