rap

Azhan Rani bawa petai ke Everest Base Camp

Oleh Syafil Syazwan Jefri

TULAR di media sosial apabila pelakon, Azhan Rani memuat naik beberapa fotonya membawa petai tatkala melakukan pendakian ke Everest Base Camp (EBC), Nepal.

Azhan yang sempat berkongsi dua fotonya bersama ulam itu menerima pelbagai reaksi daripada pengikut di Instagramnya.

"Takkan Melayu hilang di dunia," tulisnya dalam satu kapsyen yang mengiringi foto dimuat naik.

Rata-rata, warganet meluahkan rasa teruja dan kagum dengan tindakan pelakon drama Nur itu.

Tak kurang juga, ramai yang meninggalkan komen lucu memandangkan Azhan juga dikenali sebagai pelakon yang suka membuat lawak.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga foto yang menampakkan kelibat petai di Instagramnya menerima hampir 7,000 tanda suka daripada warganet serta ratusan komen.

Azhan bersama 27 pendaki lain memulakan ekspedisi menakluk EBC bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-62 pada 31 Ogos lalu selama 16 hari dan akan berakhir pada 16 September ini.

Cabaran mereka adalah untuk mengibarkan Jalur Gemilang gergasi setinggi enam meter di puncak EBC yang berketinggian 5,364 meter dari aras laut.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 2:28pm
d