rap

Harry nafi perguna Asif untuk popularkan lagu

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KOMPOSER, Harry Khalifah menafikan mempergunakan remaja autisme, Mohd Asyiff Suhaimi, 17, atau Asif bagi mempopularkan lagunya berjudul Suaramu Syairku yang dihasilkan dalam versi baharu.

Harry berkata, video baharu yang dihasilkannya dengan judul Aku Makan Cintamu itu sekadar penghargaan buat pelakon drama spontan di YouTube berkenaan.

"Baru-baru ini tular di laman sosial apabila Asif menyanyikan lagu ini menggunakan suara sengau dan tidak difahami.

“Dalam banyak lagu di Malaysia, lagu ini melekat di kepalanya dan ia amat mengagumkan," katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, secara kebetulan sepupu Asif yang juga personaliti YouTube, Syahmi Sazli, 24, berada di Kuala Lumpur menyebabkannya mengatur pertemuan bersama mereka.

Sebaik mendapat persetujuan katanya, Syahmi membawa Asif dan rakan pelakon, Yoe Parey atau nama sebenarnya Muhammad Ashrul Hakim Lukma, 21, ke studio untuk rakaman baharu.

"Saya tidak mempergunakan mereka sebaliknya versi baharu ini penghargaan untuk orang kurang upaya (OKU). Saya juga menyanyikan semula lagu menggunakan perkataan asal yang disebut Asif," katanya.

Harry berkata, dia memberikan kredit kepada Asif apabila menamakannya sebagai penulis lirik sebaik rakaman berakhir.

"Biarpun nyanyian semula tidak difahami, ada sesuatu yang mahu diperkatakan Asif. Bagi saya Asif dan Yoe memiliki bakat yang perlu dicungkil," katanya.

Justeru katanya, dia bercadang menghasilkan sebuah lagu baharu untuk mereka berdua.

Harry pada masa sama menzahirkan kesyukuran apabila versi baharu berjudul Aku Makan Cintamu itu meraih dua juta tontonan sebaik dimuat naik di YouTube, minggu lalu. Untuk versi asal, ia meraih 10 juta tontonan dalam tempoh sebulan.

"Saya menegaskan tidak mengambil kesempatan atas populariti Asif dan Yoe Parey. Bagaimanapun saya mengakui mereka berbakat," katanya.

Terdahulu, Asif dan Yoe Parey mendapat perhatian sebaik drama spontan yang dilakonkan mereka menggunakan dialek Kelantan di YouTube ditonton jutaan orang.

Kebanyakan warganet menyifatkan kedua-duanya berbakat dan menghiburkan.

Berita berkaitan

'Asif kekal berlakon drama spontan'

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 6:29pm
d