rap

Filem produksi tempatan ditayang di Kanada

Oleh Georgie Joseph

FILEM terbitan produksi tempatan ACE Pictures berjudul Color Out of Space lakonan Nicolas Cage dan Joely Richardson bakal ditayangkan secara perdana di Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF), Kanada yang berlangsung pada 5 hingga 15 September.

Menurut Presiden ACE Pictures yang juga penerbit eksekutif filem itu, Peter Wong, semestinya pencapaian terbabit satu kejayaan besar buat produksi tempatan selain keseluruhan produksi.

“Ini adalah satu berita yang sangat mengujakan kami semua. Barisan pelakon dan kru kreatif bersorak gembira sebaik mendapat tahu mengenainya.

“Kami percaya, pelaksanaan jauh lebih penting berbanding cakap kosong dan ini bukan kali pertama projek kami ditayangkan di festival filem antarabangsa. Penghargaan ini juga bukti kemampuan inovasi kami berhasil dalam industri filem yang terus berevolusi.

“Semestinya, pencapaian terbaru ini bakal membuka lebih peluang untuk ACE Pictures terus melakar kejayaan,” katanya.

Filem bergenre sains fiksyen dan seram terbabit adalah adaptasi daripada cerita pendek legenda hasil karya penulis dari Amerika Syarikat, HP Lovecraft. Filem terbabit diarahkan Richard Stanley yang berasal dari Afrika Selatan.

Selain Nicolas dan Joely, Color Out of Space turut dibintangi Tommy Chong, Elliot Knight, Madeleine Arthur, Brendan Meyer, Julian Hillard, dan Q’Orianka Kilcher.

Ditubuhkan pada 2017, ACE Pictures sudah melabur dan menerbitkan sebanyak lapan filem pelbagai genre. Filem Clemency terbitannya berjaya memenangi Hadiah Utama Juri di acara berprestij Festival Filem Sundance 2019.

Tidak ketinggalan, filem berjudul Imaginary Order turut dipilih untuk bertanding di acara sama. Manakala, filem Daniel Isn’t Real dipilih untuk ditayangkan di Filem Festival SXSW 2019.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 8:19pm
d