rap

Kejayaan Floor 88 hasil kerjasama

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SEJAK muncul dengan lagu Zalikha, kerjaya seni kumpulan Floor 88 yang dianggotai Ayie Elham, Achoi, Falique, Eric Fuzi, Akram dan Amir terus memacu laju.

Tidak dapat disangkal, Floor 88 antara kumpulan muzik paling diminati ketika ini andai dinilai daripada video muzik yang dimuat naik di laman sosial YouTube.

Setiap kali tampil dengan single baharu, ia pasti menjadi hit dalam tempoh pantas. Keunikan muzik kontemporari yang diberikan elemen Nusantara menjadi antara tarikan karya dihasilkan kumpulan itu.

Bukti karya dihasilkan sendiri anggota Floor 88 menjadi kegilaan ramai apabila tiga lagu dirakam dan dipasarkan sebelum ini seperti Zalikha, Aqilah dan duet bersama Baby Shima menerusi Roadblock Hatiku, ditonton hampir 35 juta kali sekali gus menjadikan Floor 88 kumpulan paling berjaya.

Rahsia kejayaan dikecapi kumpulan itu pastinya terletak penuh pada tangan Achoi atau nama sebenarnya Zai Hamzah kerana semua lagu popular dipersembahkan Floor 88 adalah hasil ciptaannya.

Ini termasuk lagu terbaharu, Hutang yang juga kini turut diminati umum dan dalam tempoh sebulan saja video muziknya ditonton lebih 10 juta kali.

Ternyata nama Achoi turut menjadi sebutan dalam kalangan penggiat seni tempatan. Andai sebelum ini kebanyakan kumpulan muzik bergantung penuh pada tarikan penyanyi tetapi berbeza Floor 88, apabila lagu yang dihasilkan menjadi tiang kekuatan.

Membincangkan mengenai situasi ini, perkara itu turut diakui semua anggota kumpulan Floor 88 dan mereka bersyukur kerana apa yang cuba dipersembahkan dalam industri muzik tempatan boleh diterima peminat.

Menyedari kelebihan dimiliki Achoi dan kebergantungan kumpulan Floor 88 pada pemain gitar utamanya itu pastinya tumpuan lebih diberikannya kepadanya kerana dia dianggap nyawa.

Andai timbul rasa kurang puas hati pada Achoi, sehingga membuatkan komposer muda itu mengambil keputusan meninggalkan Floor 88, ia boleh dianggap sebagai penutup kepada kerjaya seni kumpulan itu.

Dalam erti kata lain, anggota kumpulan Floor 88 lebih memerlukan Achoi berbanding dia memerlukan Floor 88.

Sewaktu ditemui Achoi bagaimanapun dengan penuh merendah diri berkata, dia menyifatkan kejayaan diraih Floor 88 sekarang berkat kerjasama diberikan setiap daripada anggota kumpulan.

“Walaupun saya pencipta kepada lagu yang didendangkan Floor 88, sebenarnya idea banyak diberikan anggota kumpulan lain sehingga menjadikan lagu ini seperti apa yang didengari dan diminati peminat,” katanya.

Katanya, sebenarnya penonjolan individu dalam satu kumpulan juga sebenarnya perkara yang kurang sihat, jadi apabila Floor 88 diminati kerana muzik diketengahkan disifatkan sebagai satu perkara baik.

“Anggota kumpulan Floor 88 sendiri tahu dan faham, apa yang saya lakukan (menghasilkan lagu dan muncul popular) adalah untuk kebaikan kami bersama. Saya tidak pernah berasa atau mahu mengangkat diri atas kejayaan yang kami raih bersama ini.

“Kalau pun ada masalah timbul, saya tidak akan meninggalkan kumpulan ini sebab kami sudah berusaha memperjuangkan muzik yang diperjuangkan sehinggalah ia diterima sekarang ini.

“Pastinya kami tidak akan sia-siakan peluang diperoleh hanya kerana putus asa dan berdepan masalah. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Eric pula mewakili anggota lain menegaskan, apa juga perkara berlaku membabitkan Floor 88, Achoi tidak akan meninggalkan kumpulan Floor 88, kerana ia tertubuh kerana dia.

“Achoi orang yang bertanggungjawab menubuhkan Floor 88 dan dia sendiri bersama Akram berusaha mencari dan mengumpul kami semua bagi membolehkan kumpulan ini direalisasikan.

“Kami sendiri sudah pasti tidak akan mensia-siakan segala usaha yang dilakukan bersama dan mensia-siakan usaha dibuat Achoi,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 5:15am
d