rap

Gitaris Aji meninggal dunia

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PEMAIN gitar, Aji Samin, 50, meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah pusat perubatan di Bukit Kemuning, Shah Alam pagi hari ini.

Aji atau nama sebenarnya Fauzi Samin adalah antara pemain gitar tempatan berbakat besar yang kerap mengiringi persembahan penyanyi popular seperti Datuk Ramli Sarip, Ella dan ramai lagi.

Rakan baiknya yang juga pengarah muzik, Faizal Uzir berkata, Aji mengalami serangan jantung di rumahnya selepas Subuh di rumahnya hari ini sebelum dibawa ke pusat perubatan berkenaan.

“Pada mulanya doktor memaklumkan Aji sudah sedarkan diri tetapi berada dalam keadaan lemah di ICU (Unit Rawatan Rapi).

“Bagaimanapun tak sampai sejam selepas itu, seorang rakan yang berkunjung ke sana membawa berita dia sudah meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi,” katanya.

Difahamkan Aji juga baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-50 kelmarin.

Selain Ramli dan Ella, ramai penyanyi pernah bekerjasama dengannya dalam rakaman album, single dan konsert turut meluahkan rasa sedih dan mengucapkan takziah di laman sosial masing-masing.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 2:30pm
d