rap

Diana Johor kembali berhijab

Oleh Ramlah Zainal

“SAYA kembali berhijab kerana percaya kini sudah sampai masanya untuk melakukan penghijrahan ini.

“Pada masa sama, saya juga mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT.

“Doakan yang terbaik untuk saya,” kata pelakon dan penerbit filem Rentap, Diana Johor ketika mengulas penampilan dirinya yang sudah berhijab ketika ini.

Menurutnya, dia memutuskan untuk kembali berhijab sejak Ramadan lalu.

“Saya melakukan perubahan ini bukan atas paksaan sesiapapun.

“Kembar saya, Lina juga sudah berhijab lebih awal dan pastinya dia serta ahli keluarga lain gembira dan menyokong penampilan baru ini,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai akaun Instagramnya yang sudah tidak aktif, Diana berkata, dia juga sudah menutup laman media sosial itu sejak bulan lalu.

“Saya mengambil keputusan menutup akaun terbabit kerana kini sudah tampil berhijab.

“Apapun, saya juga kurang aktif di akaun Instagram sejak kebelakangan ini,” katanya.

Terdahulu, Diana pernah mencetuskan kontroversi kerana dikaitkan dengan isu dirinya membuka tudung pada 2015.

Selain itu, pelakon berkenaan juga dilaporkan pernah mengalami kemurungan kronik gara-gara tekanan berkaitan kontroversi pembikinan filem Rentap terbitan syarikat produksi miliknya bersama saudara kembar, Lina, Unique Twins Sdn Bhd pada 2014.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 4:11pm
d