rap

Nana dah tak rabun

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular, Siti Nordiana lega apabila tidak perlu lagi memakai cermin mata dan kanta lekap selepas menjalani pembedahan lasik baru-baru ini.

Siti Nordiana, 35, atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias berkata, pembedahan itu dijalankan di Pusat Mata dan Lasik Prof Muhaya hanya dalam tempoh kurang lima minit.

"Pada awalnya, saya diminta untuk datang buat pemeriksaan mata saja. Jadi, tak fikir pun nak buat lagi. Tapi, selepas pemeriksaan saya dimaklumkan mata sesuai untuk buat lasik.

"Jadi, pada hari sama saya terus buat. Memang mudah dan cepat saja iaitu tak sampai lima minit untuk kedua belah mata. Walaupun pada mulanya saya takut nak buat sebab melihat peralatan yang ada.

"Selepas diberikan ubat pelali, memang tak rasa apa pun. Ketika itu baru pembedahan dibuat. Alhamdulillah, semua okey. Sekarang, saya tak perlu lagi pakai cermin mata atau kanta lekap. Mata saya dah bebas," katanya kepada Harian Metro.

Siti Nordiana yang mesra disapa Nana berkata, dia mengalami rabun jauh dengan kuasa cermin matanya melebihi 200.

"Selepas rawatan ini, saya dah tak perlu risau dan boleh buat apa saja aktiviti. Paling penting, saya dapat melihat dengan lebih jelas.

"Terima kasih kepada Prof yang sudi mencadangkan saya untuk buat rawatan ini. Sebelum ini, saya tengok orang lain saja dan tak berkesempatan nak buat pun.

"Menariknya, ketika Prof buat, dia turut mengalunkan zikir. Hinggakan tak sedar sudah siap," katanya.

Sebelum ini, artis lain yang turut membuat pembedahan lasik adalah Mira Filzah dan Wany Hasrita.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 5:20pm
d