rap

Lagu semangat untuk Harimau Malaya, bukan ciplak Indonesia

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

AHLI kumpulan UNIC, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, 33, menzahirkan kekecewaan apabila lagu nyanyiannya untuk pasukan bola sepak kebangsaan didakwa menggunakan melodi dan muzik dari Indonesia.

Fakhrul berkata, peminat bola sepak di negara jiran mendakwa mereka menggunakan melodi lagu Mungkin nyanyian Melly Goeslaw sedangkan ia tidak.

"Seperti mana diketahui, lagu semangat untuk Harimau Malaya menggunakan melodi lagu Ainul Mardiah. Nyanyian ini dihasilkan tahun lalu untuk perlawanan Piala AFF Suzuki," katanya.

Menjelang perlawanan Malaysia dan Indonesia dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, malam tadi, lagu itu dimuat naik semula di Instagram untuk membangkitkan semangat pemain kebangsaan.

"Selepas dimuat naik, peminat bola sepak Indonesia menghentam UNIC di laman sosial. Mereka mendakwa, Malaysia terdesak memenangi perlawanan hingga terpaksa mencuri melodi dan muzik," katanya.

Malah, sebuah portal berita di negara jiran itu melaporkan tuduhan terbabit dengan membuat perbandingan lagu.

"Akibat tuduhan, kami tampil memberikan penjelasan di laman sosial. Kami mendengar semula lagu Mungkin dan mendapati tiada persamaan," katanya.

Menurut Fakhrul, pemeriksaannya mendapati lagu nyanyian Melly Goeslaw dihasilkan 2009 manakala lagu nyanyian mereka ciptaan Munif Hijjaz dihasilkan 2002.

"Isunya di sini, tiada siapa meniru siapa. Saya berharap masyarakat Indonesia dan Malaysia menghentikan pergaduhan kerana kita adalah saudara seagama, merdeka, serumpun dan sejiwa," katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, Malaysia berjaya menewaskan Indonesia dengan keputusan 3-2, namun ia dicemari insiden pergaduhan sebaik peminat bola sepak negara itu menyerang peminat bola sepak kebangsaan.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 3:45pm
d