rap

Josiah mahu jejaki keluarga bapa di Mexico

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Josiah Hogan mengakui sangat rindu untuk bertemu keluarga sebelah bapanya di Mexico dan sebak apabila saudaranya kerap bertanya bila dia datang melawat mereka.

Bagaimanapun, rindu Josiah, 33, terubat apabila teknologi menghubungkan mereka dan masih menaruh harapan tinggi dapat menjejaki keluarganya suatu hari nanti.

“Saya memang terpisah dengan keluarga di Mexico sejak bayi lagi. Bagaimanapun, pada 2012, kami dipertemukan semula di Instagram dan mula berhubung.

“Saya sangat gembira apabila sepupu di sana berusaha mencari saya di Internet dan kerap berkongsi perkembangan keluarga di sana.

“Apa yang membuat saya sebak adalah apabila mak saudara cakap mereka bukannya makin muda. Itulah yang membuatkan impian saya meluap-luap untuk pergi melawat mereka,” katanya.

Pelakon Mimpi Sabrina terbabit memberitahu dia sebenarnya sudah lama memasang niat itu. Bagaimanapun, dia mengakui tabungannya belum cukup untuk merealisasikan hajat itu.

“Daripada dulu lagi saya memasang impian untuk menjejak keluarga di sana. Setiap kali melihat program Mexico di televisyen, buat saya sangat rindu untuk merasai sendiri jadi orang Mexico.

“Bagaimanapun, itulah tabungan saya masih belum mencukupi ke sana. Disebabkan itu, saya mahu terus bekerja keras dan berharap lebih banyak dapat tawaran berlakon sekarang,” katanya.

Pelakon berketurunan latin itu dilahirkan di Amerika Syarikat dan membesar sepenuhnya di Malaysia. Dia fasih bertutur bahasa Melayu, dialek pantai timur dan Inggeris.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 4:08pm
d