rap

Susahnya jadi Puntianak

Oleh Rudy Imran Shamsudin

MALAM gala tayangan filem Dendam Pontianak lakonan Fazura dan Remy Ishak yang berlangsung baru-baru ini cukup bertuah apabila turut diserikan dengan kehadiran seniwati veteran Datuk Seri Maria Menado, 87, dan Salmah Ahmad, 81, yang cukup sinonim dengan filem Pontianak pada 1957.

Maria yang pernah diiktiraf sebagai Wanita Tercantik Malaya oleh majalah Time pada 1957 dianggap sebagai pelopor kepada watak puntianak dan sering menjadi rujukan serta perbandingan setiap kali ada filem mengenai puntianak dihasilkan.

Maria ketika ditemui berkata, dia memuji pembikinan filem Dendam Pontianak yang diterbitkan Tiger Tiger Pictures dan diedarkan Primeworkds Studios itu.

“Selepas menonton filem itu, saya berasakan ia bagus dari sudut tenikal dan juga lakonan. Cuma ia kurang seram mungkin kerana yang mahu ditonjolkan adalah elemen dramanya,” katanya.

Maria berkata, apabila menonton Dendam Pontianak sudah tentu sedikit sebanyak mengimbau kenangan ketika terbabit dengan penggambaran filem Pontianak pada 1957.

“Sewaktu saya menjalani penggambaran filem itu, cabaran paling besar adalah apabila harus disolek dalam tempoh yang sangat lama.

“Waktu itu teknologi bukanlah canggih seperti sekarang dan semua perkara harus dilakukan secara manual termasuk solekan.

“Bayangkan sewaktu mahu melakukan perubahan wajah saya daripada cantik kepada hodoh dan kemudian bertukar menjadi puntianak ia harus dilaksanakan satu persatu.

“Saya harus berbaring di atas tanah dan disolek sedikit dan dirakam kemudian disolek lagi sedikit dan dirakam sehinggalah keseluruhan proses yang dimahukan pengarah memuaskan.

“Maksudnya wajah puntianak yang ditampilkan dalam visual itu benar-benar menepati dan menakutkan. Peminat menonton perubahan wajah yang berlaku dalam beberapa saat, tetapi ia sebenarnya dilakukan dalam tempoh hampir sehari,” katanya.

Katanya, ketika anaknya menemani dia ke lokasi penggambaran filem itu, anaknya itu terkejut dan takut dengan solekan itu hingga menangis.

Sementara itu, Salmah yang memegang peranan sebagai anak kepada Pontianak pula berkongsi pengalaman bagaimana suasana penggambaran ketika itu turut menakutkan.

“Bayangkan penggambaran bermula jam 6 petang dan berlarutan sehingga subuh. Ada masanya kami tidak pulang ke rumah sekiranya ada babak yang perlu dilakukan di siang hari.

“Bekerja dalam menghasilkan filem Pontianak itu memang memenatkan, tetapi sebaik saja ia ditayangkan di pawagam dan mendapat sambutan hangat, terasa segala penah-lelah dan kepayahan dilalui pelakon dan kru filem itu sangat berbaloi,” katanya.

Salmah juga menyifatkan Dendam Pontianak menarik untuk ditonton, malah pembikinannya nampak begitu cantik dan lakonan juga bagus.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 4:45am
d