rap

Neelofa, artis paling banyak ikuti pertunjukan fesyen

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PELAKON dan pengacara, Noor Neelofa Mohd Nor, 30 bersyukur kerana menjadi artis tanah air yang paling banyak mengikuti pertunjukan fesyen di New York, Amerika Syarikat.

Neelofa berkata, dia menzahirkan penghargaan apabila menerima undangan pihak penganjur bagi mengikuti pertunjukan itu bermula Jumaat lalu hingga esok.

"Alhamdulillah, saya dapat bertemu pereka fesyen terkemuka dunia seperti Tommy Hilfiger. Saya juga bersua muka bersama model hijab terkemuka, Halima Aden dengan menimba pengalaman berhubung rekaan pakaian serta peragaan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sebelum ini beberapa artis tanah air pernah menyertai New York Fashion Show antaranya Jow Flizzow dan Farah Nabilah dengan mengikuti dua pertunjukan.

"Menerusi jemputan New York Fashion Show, saya menyertai 13 aktiviti, lima pertunjukan fesyen, makan malam bersama mereka (pereka fesyen) selain mencuba pakaian di bilik pameran," katanya.

Menurutnya, sewaktu mencuba busana Tommy Hilfiger di bilik persalinan, semalam, pereka fesyen itu menegurnya lalu memberikan nasihat berhubung pemakaian.

"Dalam sesi 'fitting', Tommy Hilfiger muncul dengan memberikan kata pujian. Dia sangat baik dan berkongsi pandangan bagaimana menggayakan busana," katanya.

Katanya, dia turut menerima undangan menghadiri pertunjukan fesyen di Paris, Perancis pada Khamis dan Jumaat ini sebelum bertolak ke Milan, Itali untuk menyertai pertunjukan itu pada 16 hingga 23 September ini.

"Akhir sekali, saya kembali semula ke Paris Fashion Show antara 24 September hingga 1 Oktober ini sebelum ke Monaco pada 5 hingga 7 Oktober depan. Saya berharap dapat mengumpul ilmu menerusi semua penyertaan ini," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 3:01pm
d