rap

'Jangan saman pemilik, saman penjual aksesori juga'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

"Jika mahu menyaman pemilik motosikal, saman juga penjual aksesori. Sama seperti kes dadah, tindakan bukan saja pada penagih tetapi pengedar," kata pelawak, Achey Bocey, 33, antara selebriti yang gemar mengubahsuai motosikal Y15ZR atau Ysuku.

Achey memberi pandangannya sebaik kenderaan terbabit diperhatikan polis berikutan belia gemar mengubahsuai motosikal itu tanpa mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah mengakui dia gemar mengubahsuai motosikal dengan berkongsi di laman sosial, tetapi tidak keterlaluan.

"Ubahsuai ini, jika pembawakan positif maka positif lah jadinya. Bagi saya, pengubahsuaian lebih terarah keselamatan kerana motosikal berkelajuan lebih 120 kilometer/sejam, jika diubahsuai lebih stabil berbanding dikeluarkan daripada kilang," katanya.

Begitupun katanya, dia tidak bersetuju jika pengubahsuaian dibuat dengan niat salah seperti berlumba haram atau menyebabkan pencemaran bunyi.

"Saya akur arahan pihak berkuasa tetapi sekiranya motosikal ini disita, saya tidak bersetuju. Jika mahu melarang pengubahsuaian, perlu tahu ia bermula di kedai aksesori.

"Kita kena adil, jika nak saman pemilik atau penunggang, perlu juga ke atas pemilik kedai. Kes ini sama saja seperti penagih dan pengedar dadah," katanya.

Menurutnya, jika larangan dikenakan ia merugikan kerana terdapat peniaga aksesori motosikal itu membabitkan masyarakat Melayu dan Bumiputera.

"Biarpun meminati ubahsuai Ysuku, kami patuh undang-undang. Cuma ingin ditegaskan penjualan aksesori punca pendapatan malah penunggang motosikal yang berkonvoi menghasilkan perolehan buat pengusaha kedai makan," katanya.

Sementara itu Zizan atau nama sebenarnya, Mohammad Razizan Abdul Razak, 35, mengakui dia selebriti terawal mengubahsuai motosikal itu sebelum diikuti rakan artis seperti Shuib, Ajak Shiro, Achey dan ahli perniagaan, Datuk Aliff Shukri.

Katanya, bukan semua pemilik Ysuku mengubahsuai kenderaan menggunakan jalan raya secara salah.

Menurutnya, pemerhatian polis tidak seharusnya pada Ysuku semata-mata sebaliknya pada semua jenis motosikal terutama yang terbabit lumba haram.

"Bagi artis, ubahsuai ini hanya untuk minat sahaja kerana kami suka motosikal cantik. Bagi saya meminati motosikal sejak di zaman sekolah tetapi pada masa itu tidak mampu, sekarang dah mampu saya buat apa diminati," katanya.

Dalam pada itu Zizan meminta masyarakat mengikuti arahan pihak berkuasa dan mengurangkan risiko bahaya di atas jalan.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan motosikal itu dalam pemerhatian polis apabila ia sering diubahsuai tanpa mengikuti spesifikasi JPJ.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk menyita motosikal terbabit jika didapati ia melanggar undang-undang jalan raya.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 6:09pm
d