rap

'Sekali ini sahaja dengan Mamat'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“BANYAK kali saya cakap, kali ini sahaja kita buat. Sebab sebenarnya berat untuk kami pikul masalah Mamat,” kata Musa Radhi mengulas isu penangkapan bekas vokalis mereka yang akan terbabit dalam Konsert Exists Reunion pada 28 September ini.

Musa, 46, pemain bass kumpulan Exists, mengakui hanya mendapat maklumat berkenaan penangkapan Mamat di Taman Perling di Johor Bahru, malam kelmarin menerusi media kerana Mamat tinggal di Johor Bahru.

“Ketika ditahan, dia ada menghubungi Along (pemain gitar) untuk beritahu mengenai perkara ini tapi tidak menjelaskan terperinci apa sebenarnya yang berlaku.

“Apabila orang bersimpati dengan kehidupannya, janganlah diperlecehkan pula,” katanya kepada Harian Metro.

Musa berkata, Exists Reunion juga sudah mengadakan mesyuarat secara tertutup dengan Shiraz Projects berkenaan isu itu.

“Kami secara kolektif tengok reaksi peminat dan mendapati ada yang pro dan kontra.

“Apabila membabitkan dadah, orang Malaysia lihat ia sesuatu yang amat dibenci dan akan jatuhkan hukuman. Kalau ikut pandangan satu pihak, mereka suruh jatuhkan hukuman.

“Tapi kami dah ada kontrak dengan Shiraz Projects dan perlu ikut syarat yang dipersetujui,” katanya.

Bercerita lanjut, Musa menjelaskan apabila perancangan untuk mengadakan konsert itu dibuat, dia, Along dan Ujang awal-awal lagi sudah berterus terang enggan menjaga Mamat.

“Kami tegaskan kepada penganjur akan terbabit dalam Konsert Exists Reunion tapi tidak berani nak jaga Mamat.

“Kami dah sedar risikonya dari awal dan jangan letakkan Mamat di bawah kami. Contohnya dalam Konsert Minggu Ini RTM pada Julai lalu, kami dah cakap awal-awal jangan salahkan kami jika dia gagal hadir.

“Ia berbeza dengan Ezad kerana kami nampak komitmennya dan dia boleh gunakan akal dengan waras,” kata Musa.

Musa berkata, dia turut mendapat persetujuan Shah dan Ajai untuk memikul tanggungjawab memasukkan Mamat dalam Konsert Exists Reunion dan mereka masing-masing bersetuju untuk sekali ini sahaja.

Menurutnya, anggota Exists Reunion yang lain cuba mengatasi kekurangan Mamat apabila cuba menampakkan kebolehannya di mata peminat.

“Amat sayang dia mempersia-siakan peluang ini. Apabila Konsert Exists Reunion dibuat, dia tampil semula dengan pelbagai masalah sama macam dulu.

“Sedangkan konsert ini akan bawa manfaat kepadanya selepas ini. Kami hasilkan single baru ikut kemampuannya walaupun tahu vokalnya banyak kekurangan sekarang.

"Dia sepatutnya jaga kredibiliti kerana mungkin namanya boleh naik semula," katanya.

Berita berkaitan

Penganjur konsert Exist Reunion terkejut

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 7:06pm
d