rap

'Boleh tapi bersyarat'

Oleh Syanty Octavia Amry

SERING kita menyaksikan pelakon hebat, Datuk Aaron Aziz tampil dengan watak gengster atau lelaki romantik.

Namun, siapa sangka dia juga mempunyai bakat terpendam apabila mampu membawakan watak sebagai lelaki lembut!

Tidak pernah sekalipun membawakan watak sedemikian dalam drama mahupun filem, pelakon berasal dari Singapura ini nyata berjaya memukau penonton.

Aaron yang terbabit dalam program All Stars Buka Panggung menjadi juara mingguan apabila program yang disiarkan di Astro Warna itu membuka tirainya pada minggu pertama Jumaat lalu.

Berkongsi perkara berkenaan, Aaron berkata, dia sendiri pada awal tidak tahu apakah watak yang bakal diberikan.

Ini kerana program yang tidak menggunakan skrip itu menampilkan dirinya dalam berpakaian seperti lelaki gengster.

"Pada awal ditawarkan menyertai program ini saya tertarik kerana ingin mencuba sesuatu yang berlainan apabila ia menampilkan persembahan tanpa skrip.

“Tetapi apabila program semakin dekat saya mula bimbang dan hampir tarik diri risau tidak mampu memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Namun kemenangan Aaron pada malam berkenaan mengubah persepsi penonton selama ini.

Dalam pada itu, Aaron berkata, dia tidak menolak jika selepas ini ditawarkan watak sebagai lelaki lembut tetapi bersyarat.

“Selama ini memang saya tidak pernah membawakan watak sebagai lelaki lembut dan cuba elak kerana tidak yakin boleh membawakan watak seperti itu.

“Tetapi jika jalan cerita itu menarik, kisah sebenar dan memberikan banyak pengajaran kepada masyarakat tidak salah untuk saya mencubanya.

“Apa yang penting ia mendatangkan pengajaran baik kepada penonton,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 5:40am
d