rap

Hanya RM30 dalam poket datang Malaysia - Mark Adam

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

"JIKA difikirkan waktu lalu, terasa seperti mahu menangis. Manakan tidak, pertama kali memijakkan kaki di bumi bertuah (Malaysia), saya memiliki hanya RM30," kata penyanyi dan pelakon, Mark Adam Fikri Abdullah, 40.

Bersempena sambutan Hari Malaysia pada Isnin ini, Mark menzahirkan penghargaan buat rakyat negara ini yang memberinya peluang bergelar artis hingga mampu mengubah kehidupannya.

Mark berkata, dia pertama kali menaiki kapal terbang pada 2001 semata-mata mahu mencari rezeki di Kuala Lumpur.

"Ketika itu saya berusia 22 tahun dan bersama lapan anggota kumpulan muzik, Big Bang. Saya akui memang takut kerana dalam poket hanya ada 500 peso (kira-kira RM30)," katanya.

Berasal dari penempatan miskin di Cebu, Filipina, Mark menguatkan azam mengubah diri, malah terfikir janji membina kediaman buat ibunya, Florenda Macaraig Echivarre, 60, sejak 1996.

"Dengan pengalaman menyanyi mewakili sekolah dan universiti, saya gunakan bagi mengadakan persembahan di restoran," katanya yang ketika itu tidak mengetahui jalan di ibu kota dan sekadar mengenali KL Sentral.

Demi kelangsungan hidup, Mark juga berkhidmat sebagai guru vokal di Petaling Jaya dan adakalanya tidak menerima tawaran persembahan hingga terpaksa mengikat perut.

Pada 2002 katanya, perjalanan seni diuruskan pengurusnya, Nor Azah Redzuan, 40, yang kini bergelar isterinya.

"Sebaik berkahwin pada 2003, saya merasai nikmat Islam dan bersyukur dibantu bapa mentua. Biarpun begitu, tawaran persembahan kadangkala tiada selepas dua tahun berkahwin," katanya.

Detik kehidupannya berubah sebaik diberi peluang untuk memasuki industri hiburan tanah air pada 2013 dengan menjayakan persembahan nyanyian, lakonan dan menjadi tenaga pengajar.

"Apa yang mahu dikatakan adalah saya menghargai rakyat Malaysia kerana sudi memberikan peluang. Negara ini aman, damai dan harmoni, maka jagalah ia sebaiknya. Selamat Hari Malaysia," katanya kini mengajar vokal di Suara Akademi di Damansara.

Mark dalam pada itu menzahirkan kesyukuran kerana dapat mengotakan janji untuk membina rumah yang diimpikan buat ibunya, baru-baru ini.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 5:43pm
d