rap

Wajar dapat jika layak

Oleh Ramlah Zainal

TIDAK dapat dinafikan, ramai selebriti tanah air ketika ini menceburi bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan.

Malah, kejayaan selebriti terkenal dalam bidang itu turut membuka mata ramai sekali gus mendapat anugerah dan pengiktirafan pihak tertentu tahun ini.

Antaranya penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 40, yang menerima Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh daripada Entrepreneur Insight, tahun ini.

Cef selebriti popular, Datuk Fazley Yaakob pula dianugerahkan Pemimpin Paling Dikagumi Di Asia 2019 bagi kategori kulinari anjuran Herald Global & ERTC Media.

Selain itu, Sufian Suhaimi turut menangi anugerah Pemimpin Paling Dikagumi di Asia 2019 bagi kategori Selebriti/Hiburan pada majlis sama, baru-baru ini.

Persoalannya adakah anugerah dan pengiktirafan ini sesuatu yang positif untuk industri hiburan tanah air kerana segelintir pihak mendakwa ada majlis anugerah yang syok sendiri, tangkap muat dan sekadar bergantung pada populariti artis semata-mata?

Malah, ada artis yang disenaraikan juga tidak layak atau hanya setahun dua menceburi bidang perniagaan turut disenaraikan sebagai ikon.

Rata-rata artis yang ditemu bual Cuit Sikit minggu ini mengakui anugerah dan pengiktirafan juga membakar semangat untuk mereka berjaya dalam dunia perniagaan.

Namun, mereka berharap penganjur turut memantau anugerah diberikan pada selebriti yang benar-benar memenuhi kriteria sekali gus menjaga prestij anugerah terbabit.

Yana Samsudin (Pelakon)

“Kita sedia maklum, setiap majlis penganugerahan yang dianjurkan ada kategori masing-masing termasuk selebriti.

Apabila selebriti menceburi bidang perniagaan, wujud kategori baharu dalam majlis penganugerahan yang menobatkan artis menceburi dunia perniagaan sekali gus sesuatu yang positif untuk industri hiburan tanah air.

Anugerah dalam industri hiburan berkaitan dengan bidang seni. Oleh itu, apabila selebriti mendapat anugerah dalam dunia perniagaan, orang ramai akan nampak mereka juga menceburi cabang yang lain.

Saya tidak menafikan kewujudan anugerah perniagaan yang berbayar. Namun, selebriti yang mendapat anugerah atau ikon dalam perniagaan juga dipilih berdasarkan sumbangannya kepada ekonomi negara.

Mungkin selebriti itu baru berniaga setahun dua tetapi perniagaannya berjaya dan turut memberi sumbangan kepada ekonomi kerana penganjur juga memiliki syarat tertentu untuk pemilihan sebagai ikon supaya tidak dipersoalkan.

Namun, jika perniagaan diceburi tidak berjaya tetapi dipilih sebagai ikon itu yang boleh dipersoalkan. Jika anugerah yang diberikan kepada selebriti dianggap syok sendiri, ia tidak akan menjadi pembakar semangat buat mereka menjadi lebih berjaya dalam bidang perniagaan dan memberikan aura positif serta persaingan sihat kepada usahawan lain.”

Erra Fazira (Pelakon)

“Saya melihat anugerah yang diberikan kepada selebriti yang menceburi perniagaan sebagai perkembangan sihat kepada mereka. Ia juga sebagai pembakar semangat untuk mereka lebih fokus dan berjaya dalam bidang perniagaan.

Namun, jika benar dakwaan pengiktirafan yang diberikan itu sekadar tangkap muat, ia satu kesilapan besar kepada organisasi atau badan yang mengiktiraf anugerah itu.

Jika perkara itu berlaku ia boleh menjadikan anugerah dan pengiktirafan yang diberikan selepas ini tidak lagi dipandang berprestij serta dihormati ramai. Ia bermaksud anugerah daripada organisasi terbabit kurang nilai dan kurang impak kepada masyarakat.”

Datuk Fizz Fairuz (Pelakon)

“Ia sesuatu yang positif kepada selebriti yang mendapat pengiktirafan itu dan menjadikan anugerah untuk melonjakkan nama organisasi atau penganjur anugerah terbabit.

Saya juga bersetuju jika anugerah diberikan kepada usahawan selebriti yang berjaya dalam memberi sumbangan dan mening­katkan produktiviti negara.

Bagi saya, anugerah itu akan menjadi syok sendiri dan tangkap muat jika selebriti yang diberi gelaran ikon itu baru saja menjual produk dan belum ada pencapaian.

Namun, gelaran ikon diberikan pada selebriti itu kerana namanya popular dan penganjur juga memilihnya untuk meng­gunakan nama selebriti itu sekali gus menaikkan nama organisasi terbabit.

Saya berharap pihak tertentu yang menganjurkan majlis anugerah perlu memilih selebriti memiliki pencapaian dan ambil kira tempoh pembabitannya dalam industri hiburan.”

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 5:00am
d