rap

Muzik sama lirik berubah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

WALAUPUN hampir setahun album XPDC Hijrah berjudul Doa (Dakwah Only Allah) dipasarkan, usaha untuk memperkenal dan mempromosikannya kepada peminat terus dilakukan.

Kumpulan dianggotai Ali (penyanyi), Izo (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram) itu beruntung kerana penerbit album mereka, Blockchain Island terus mengatur promosi termasuk sesi bertemu peminat di A Square Container Market, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Dalam promosi yang berlangsung selama dua hari itu, XPDC Hijrah menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu popular mereka serta lagu daripada album Doa.

Mereka turut menjual cakera padat (CD) dan kemeja-T jenama XPDC Hijrah serta menandatangani produk yang dibeli peminat.

Ali berkata, album kelapan yang kekal dengan konsep heavy metal ini masih mendapat permintaan yang baik daripada peminat.

“Alhamdulillah peminat suka dan terima album ini kerana konsep muziknya masih sama seperti album terdahulu.

“Cuma, liriknya sudah berubah daripada elemen cinta sesama manusia kepada ketuhanan dan dakwah.

“Ada lagu heavy, moderate dan perlahan. Imej kami juga tidak berubah dan masih sama. Lirik yang ditampilkan kini lebih banyak menyentuh mengenai kehidupan dan pesanan supaya berbuat baik sesama makhluk,” katanya.

Menurut Ali, masalah utama dihadapi mereka adalah unit pemasaran yang terlalu perlahan dan ia perlu dipertingkatkan.

“Selain itu, aktiviti promosi kena diberhentikan seketika kerana saya menjalankan misi dakwah di India selama empat bulan.

“Namun walaupun terhenti, peminat tetap tanya mengenai album ini dan bertanya cara nak beli.

“Ini yang akhirnya mendorong Blockchain Island menganjurkan program bertemu peminat di pelbagai lokasi,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah sekiranya XPDC Hijrah menggunakan khidmat penyanyi lain semasa ketiadaannya.

“Saya sudah bagi lampu hijau awal-awal dan mereka gunakan khidmat Aweera. Buat apa saya nak halang jika itu rezeki mereka.

“XPDC juga tak 'demand' dan mengenakan harga bersesuaian membuatkan kami masih jadi pilihan penganjur untuk menghiburkan peminat di pelbagai lokasi.

“Alhamdulillah setiap bulan pasti akan ada tawaran. Tambahan lagi menjelang hujung tahun lagilah kami sibuk ke sana sini,” katanya yang melahirkan hasrat untuk mengadakan satu konsert besar selepas ini.

Sementara itu, Izo berkata, album Doa p erlu dimiliki setiap peminat kerana ia banyak bercerita mengenai kehidupan dan lebih kepada menasihati supaya melakukan perkara baik.

“Kami berkongsi benda baik dengan peminat.

“Sama ada orang nak terima atau tak, itu kerja Allah.

“Kami sudah puas hati dapat menyampaikan apa yang baik.

“Usia kami pun dah meningkat, takkan masih nak menyanyikan lagu cinta.

“Peminat pun sudah sama usia dengan kami, pasti mereka dapat terima lagu begini,” katanya.

Album Doa menjalani proses rakaman di Studio Archive, Damansara mengambil masa lebih dua tahun untuk disiapkan dan turut menjadi album termahal XPDC.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 5:10am
d