rap

Konsert sulung di Kuala Lumpur

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

BAND rock dari Amerika Syarikat, Halestorm teruja untuk menemui peminat mereka di negara ini apabila bakal mengadakan konsert pertama di Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur pada 14 Disember depan.

Penyanyi dan pemain gitarnya Lzzy Hale, 36, berkata, mereka berharap peminat datang beramai-ramai dan membanjiri konsert berkenaan.

Dalam Konsert Halestorm Live In Malaysia 2019, mereka berjanji mahu memberikan persembahan terbaik bagi menghiburkan peminat setia.

Halestrom juga akan mempromosikan album terbaharu berjudul Vicious yang dihasilkan tahun lalu. Tiket boleh diperoleh menerusi www.proticket.com.my.

Berasal dari Red Lion, Pennsylvania, selain Lzzy, Halestorm yang ditubuhkan pada 1998 dianggotai Arejay Hale (dram) yang juga adik kepada Lzzy, Joe Hottinger (gitar) dan Josh Smith (bass).

Lzzy berkata, mereka sudah mengadakan banyak persembahan bersama penyanyi dan band rock ternama antaranya Eric Church, Joan Jett, Avenged Sevenfold, Alice Cooper, Rob Zombie, ZZ Top dan Evanescence.

“Setakat ini kami sudah mengadakan 2,500 persembahan di seluruh dunia dan teruja mengadakan persembahan pertama di Kuala Lumpur,” katanya.

Lzzy berkata, antara persembahan yang sudah dijayakan adalah Taste of Chaos, Download Festival, Rock Am Ring Festival dan Rockstar Energy Drink Uproar Festival.

Lzzy juga bangga apabila Halestorm memenangi kategori Persembahan Rock Terbaik di Grammy Awards 2019 menerusi lagu Uncomfortable.

“Ia adalah kejayaan kedua selepas kami memenangi Persembahan Hard Rock/Metal Terbaik di anugerah yang sama pada 2013,” katanya.

Dalam pada itu, Lyyz gembira sejurus Loudwire menamakannya sebagai Artis Rock Terbaik 2018 selain meraih pengiktirafan Dimebag Darrell Shredder of the Year di Anugerah Metal Hammer Golden Gods pada 2017.

Satu-satunya anggota wanita kumpulan itu, Lzzy berkata, dua album mereka berjudul Halestorm dan The Strange Case Of... menerima sokongan peminat seluruh dunia.

Mereka juga mencipta sejarah apabila single hit berjudul Bites Love (So Do I) menerusi album The Strange Case Of... mengungguli carta radio, Active Rock di Amerika Syarikat.

Ia sekali gus menjadikan Halestrom kumpulan diterajui wanita pertama meraih kedudukan teratas dalam carta berkenaan.

Baginya, Halestorm adalah simbol harapan dan inspirasi dalam kalangan pemuzik, terutama pemuzik wanita yang berani menyahut cabaran industri muzik masa kini.

Lzzy juga disifatkan peminat sebagai perintis rock yang berjaya membuktikan wanita berhak berada di atas pentas.

“Mereka (peminat) sangat membantu dan mempercayai saya dapat melakukan sesuatu. Saya harap dapat memberikan keyakinan yang sama untuk wanita pada hari ini,” katanya.

Lzzy juga berbangga anggota kumpulan itu dapat bersama lebih 15 tahun dan akan terus menghasilkan lagu dan muzik berkualiti.

“Kami mahu mencuba sesuatu yang baharu dan akan membuktikan bahawa kami layak berada dalam pentas muzik. Apa- apapun, kami bersyukur kerana memiliki peminat yang sentiasa mengambil berat dengan hasil karya ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 5:15am
d