rap

'Selamat tinggal Akim & The Majistret' - Zimi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

ANGGOTA Akim & The Majistret (ATM) yang juga komposer Zimi mengesahkan secara rasmi keluar daripada kumpulan itu sejak tiga minggu lalu.

Zimi, 35, atau nama sebenarnya Zarimi Zahari berkata, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan beberapa perkara selain menganggap bukan rezeki bersama kumpulan yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu.

“Saya masuk cara baik, jadi saya keluar pun cara baik. Pengunduran ini saya sudah maklumkan kepada semua ahli. Mereka pun sudah sedia maklum mengenainya.

“Rezeki dan jodoh bersama ATM setakat ini sahaja. Mungkin Allah SWT sudah mengaturkan perjalanan saya yang lain pula.

“Tidak mengapa kerana saya percaya rezeki ada di mana-mana. Saya pula jenis yang bekerja kerana minat mendalam terhadap muzik. Jadi, saya tahu kemampuan diri,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sebab pengundurannya, Zimi memilih untuk tidak berkongsi kepada umum.

“Biarlah apa yang terjadi antara kami sahaja tahu. Ia terlalu peribadi untuk dikongsi. Cuma, sejujurnya saya berasa sedih dan kecewa apabila perlu meninggalkan kumpulan ini.

“Apapun, saya faham situasi yang berlaku, begitu juga dengan yang lain. Kalau dibiarkan nanti melarat pula. Jadi, jalan terbaik saya undur diri.

“Insya-Allah, saya masih boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja dan menerbitkan lagu untuk orang lain. Jadi, saya anggap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya.

Selain Zimi, seorang lagi aggota ATM yang keluar ialah Rajwan (Digital dram) sementara Afiez (Keyborad) berstatus tidak aktif.

Menurut Zimi, lagu Yang Satu dilancarkan pada 18 Ogos lalu adalah karya terakhir bersama kumpulan itu.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 3:24pm
d