rap

Keluarga Ruhainies kemalangan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KELUARGA pelakon popular Ruhainies terbabit dalam kemalangan di Jalan Tun Razak berhadapan Institut Jantung Negara (IJN) jam 2 pagi hari ini.

Ruhainies, 27, atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, kereta jenis Kia Sportage yang dipandu adiknya, Riesya Sharmin turut dinaiki kedua ibu bapa, kakaknya yang juga pelakon Risteena dan seorang lagi adiknya, Nul Aiman.

"Kejadian berlaku selepas kami pulang menyambut hari jadi bapa. Mereka naik satu kereta dan saya dalam kereta lain. Ketika dalam perjalanan pulang, saya dihubungi adik yang memaklumkan mereka kemalangan.

"Difahamkan, sebuah kereta secara tiba-tiba muncul dari depan. Disebabkan itu, kereta dipandu adik tidak sempat mengelak dan terus bertembung. Kereta rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi," katanya.

Kemalangan itu mengakibatkan pergelangan tangan kanan ibunya, Che Bunga Salleh patah, kepala bapanya bengkak dan adik-beradik lain sakit badan.

Sehubungan itu, keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee.

"Terima kasih kepada pegawai yang bertugas. Mereka sangat membantu dan memudahkan urusan kami,” kata Ruhainies.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 4:46pm
d