rap

Pencapaian membanggakan

Oleh Norhayati Nordin

DALAM apa juga bidang kerjaya diceburi, pastinya ada impian bermakna seperti pengiktirafan ingin dimiliki berikutan sudah mengharumkan nama negara.

Untuk karier seni selain mendapat kemenangan anugerah terbaik mahupun popular di atas undian peminat, semestinya pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) turut didambakan.

Tak dinafikan sudah ramai juga barisan selebriti Malaysia menerima pengiktirafan MBOR di atas kejayaan dalam pencapaian yang membanggakan seperti pernah diperoleh Datuk Shake, Aiman Tino dan kumpulan Orkestra Nirwana Johor Bharu (ONJB).

Berikut kejayaan lima selebriti terkenal Malaysia yang mendapat pengiktirafan MBOR apabila tiga daripada mereka menerimanya tahun ini.

Datuk Seri Siti Nurhaliza (April 2014) - Ikon Malaysia

Pembabitan lebih dua dekad Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 40, dalam industri hiburan banyak membawa pencapaian membanggakan negara.

Penghibur terkenal ini juga pernah meraih dua pengiktirafan terdahulu daripada MBOR iaitu Artis Pertama Malaysia Mengadakan Konsert Solo di Royal Albert Hall London pada 2005 dan Anugerah Terbanyak Dimenangi Seorang Penghibur.

Pada April 2014 pula, Siti diiktiraf MBOR untuk kali ketiga sebagai Ikon Malaysia sebaris dengan beberapa tokoh korporat berjaya tanah air dikagumi.

Selain itu, Siti lebih dulu membolot Anugerah Emas di Asia New Singer Competition Shanghai Asia Music Festival pada 1999.

Jika hendak dihitung pencapaian Siti, sudah terlalu banyak kerana lebih 200 anugerah dan penghargaan diraihnya dari dalam dan luar negara.

Dilabel juga sebagai penyanyi tersohor, keperibadian Siti yang masih mesra, tidak sombong dan sopan walaupun kini di puncak kegemilangan, ternyata Siti masih tiada tandingan .

Yuna (Julai 2016)- Artis Malaysia Pertama Paling Berjaya Menembusi Kedudukan 10 Teratas Dalam Carta Bilboard Menerusi Kategori Album R&B

Keberanian Yuna mencuba nasib mengembangkan karier nyanyiannya di Amerika Syarikat nampaknya pilihan tepat.

Pemilk nama sebenar Yunalis Zarai, 32, ini mendapat pengiktirafan MBOR hasil usahanya memiliki album R&B pertama artis tempatan yang berjaya menduduki senarai 10 tangga teratas Carta Billboard di Amerika Syarikat.

Album berjudul Chapter itu diterbitkan pada 2016 turut memuatkan lagu duet Yuna dan Usher berjudul Crush yang popular dan diminati ramai.

Yuna juga pernah bekerjasama dengan penerbit muzik terkenal, David Foster.

Ternyata album Chapter banyak melakar kejayaan manis buat Yuna apabila terpilih untuk pencalonan Top 20 Best R&B Albums 2016 oleh majalah Rolling Stone serta mendapat penghargaan diundang membuat persembahan istimewa di Soul Train Music Awards 2016.

Dr Soo Wincci (8 Julai 2019) - Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak & Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak

Semangat kental untuk memastikan gelaran Doktor Falsafah berjaya dalam genggamannya membuatkan Soo Wincci, 34, nekad menghabiskan pengajian walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti seni.

Sedar dia tidak dilahirkan cerdik atau memiliki nasib baik, menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus belajar bersungguh-sungguh demi mengejar impian berjaya dalam pendidikan.

Dikenali sebagai penyanyi, pelakon dan model jelita, Soo Wincci juga berkemahiran dalam masakan. Dia mahir dalam penyediaan manisan dan pastri selain penyediaan sajian enak sihat.

Selama 15 tahun tak jemu belajar, Soo Wincci sudah menghadiri lima majlis graduasi yang melayakkannya memiliki ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (2007), Sarjana Pengurusan Perniagaan (2008), Doktor Falsafah (PhD) dalam Perniagaan (2016), Sarjana Muzik (2018) dan Ijazah Pasca Sarjana Fellowship dari Berklee Valencia, Sepanyol (2019).

Ayda Jebat (9/8 2019)- Artis Solo Pertama Buat Persembahan Muzik Secara Langsung Di Altitud Paling Tinggi

Kemunculan awal Ayda Jebat, 27, dalam industri seni dengan penyertaan sebagai peserta program realiti TV popular, Akademi Fantasia 9 (AF9) pada 2011 dan tersingkir pada minggu ketiga menerusi ‘Operasi Gugur’.

Tidak mengenal erti putus asa dan terus mencuba, Ayda berjaya melakar nama dan bakat dalam lakonan melalui drama Rindu Awak 200 Peratus pada 2014 dan sekitar 2015 dia tampil untuk menyanyi semula dengan menghasilkan lagu solo, Siapa Diriku.

Kini, diam tak diam Ayda sudah menghasilkan 12 lagu secara solo dan duet. Malah, kejayaan bermakna buatnya selepas mencipta rekod tersendiri menjadi artis solo pertama membuat Persembahan Muzik Secara Langsung di Altitud Paling Tinggi yang diiktiraf MBOR.

Persembahan mini itu berlangsung pada ketinggian 38,000 kaki dari paras laut dalam penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pada 9 Ogos lalu.

Sudah lapan tahun membina karier seni, Ayda juga berjaya mengumpul lebih 40 anugerah popular hasil undian peminat pada majlis acara hiburan berprestij untuk kategori penyanyi dan pelakon.

Sufian Suhaimi (April 2019) - Video muzik Lagu Di Matamu Catat Jumlah Tontonan Tertinggi Bagi Kategori Lagu Melayu Dan Artis Tempatan Di YouTube

Episod putus tunang dilalui Sufian Suhaimi, 27, pada awalnya boleh dilihat sebagai mimpi ngeri dan kenangan paling menyedihkan dalam hidup.

Namun, siapa sangka penangan lagu Di Matamu nyanyiannya berjaya menjadi pengubat luka terindah buat Sufian kerana mampu meleburkan rekod tontonan YouTube dipegang Aiman Tino melalui lagu Ku Rela Dibenci pada 2016.

Video video lagu itu meraih lebih 56 juta tontonan sejak dimuat naik di YouTube pada 22 Mac tahun lalu dan sekali gus memadam rekod Aiman.

Malah, jumlah tontonan video muzik lagu Di Matamu mencetus fenomena luar biasa selepas

Sufian meraih kemenangan kategori Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, pada 3 Februari lalu.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 5:10am
d